SEORANG remaja lelaki 18 tahun meninggal dunia dipercayai selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah rumah sewa di Lundu, Sarawak pagi ini.
Sebelum kejadian, mangsa bersama-sama beberapa rakan sekerja menghadiri perjumpaan sosial dan dipercayai mengambil minuman keras.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.12 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Mangsa dihantar ke Unit Kecemasan HUS dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan bengkak pada bahagian mata dan pipi kiri serta kesan darah kering pada hidung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sudirman berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dengan seorang rakan sekerja yang tinggal serumah sebelum bertukar menjadi pergaduhan fizikal.
“Mangsa dilaporkan pengsan selepas pergaduhan itu dan dibawa ke hospital oleh suspek untuk rawatan,” katanya.
Susulan kejadian itu, Sudirman berkata, polis menahan tiga lelaki berusia antara 29 hingga 33 tahun dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda serta beberapa telefon bimbit untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, polis juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai melarikan diri selepas menghantar mangsa ke hospital.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


