SEORANG pekerja kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut manakala rakannya cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kedua-dua mangsa dipercayai sedang mengemas peralatan selepas selesai menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di lebuh raya berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku di laluan dari Jalan Damansara menghala ke Jalan Parlimen.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar dua pekerja yang berada di lorong kiri jalan.
“Salah seorang mangsa adalah penyelia berusia 28 tahun yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Seorang lagi mangsa ialah pemandu lori (penyelenggaraan) berusia 49 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dan tangan kanan. Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, kedua-dua mangsa adalah sebahagian daripada lima pekerja yang menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak DBKL.
Katanya, kumpulan itu turut disertai tiga pekerja warga Bangladesh, dengan kerja pemasangan bermula jam 11 malam semalam hingga 4 pagi tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.
“Hasil ujian saringan pernafasan alkohol terhadap pemandu kereta mendapati bacaan sebanyak 64 mg/100 ml. Pemandu itu ditahan reman selama tiga hari hingga 26 Oktober 2026 bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.





