Lima terselamat dalam kebakaran rumah, empat kenderaan di Permatang Pauh

LIMA sekeluarga sempat menyelamatkan diri apabila rumah didiami mereka terbakar hampir 70 peratus dan turut memusnahkan empat buah kenderaan di Kampung Belah Dua, Permatang Pauh pagi ini.

Kesemua mereka terdiri daripada seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak tidak mengalami kecederaan dalam kebakaran bermula kira-kira jam 8.15 pagi itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.18 pagi dan jentera bomba tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.40 pagi manakala operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 9.51 pagi.

“Kebakaran melibatkan satu unit rumah kelas B bersaiz 20×30 kaki serta empat kenderaan iaitu dua motosikal dan dua kereta.

“Konsep RECEO telah diaplikasikan dalam operasi pemadaman. Kaedah pemadaman dilakukan secara defensif dan ofensif. Kerja-kerja overhaul telah diselesaikan sebelum lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, motosikal yang terbakar adalah Kawasaki Ninja Z800 yang mengalami kerosakan 30 peratus, manakala sebuah skuter yang tidak dikenal pasti musnah 95 peratus.

“Sementara itu, kereta Perodua Viva musnah 85 peratus dan Proton Wira mengalami kerosakan 30 peratus. Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) turut dilaksanakan termasuk pengambilan maklumat pemilik premis serta pemberian khidmat nasihat,” katanya.

Beliau memberitahu, seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda dan BBP Bukit Mertajam bersama dua jentera LFRT terlibat dalam operasi tersebut.

“Bantuan daripada polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut diberikan bagi memastikan keselamatan serta bekalan elektrik di kawasan itu,” katanya lagi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img