Dana Kandungan Kreatif RM15 juta dibuka untuk permohonan 16 November

PENGGIAT industri kreatif negara berpeluang memohon peruntukan RM15 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) mulai 16 November ini bagi menyokong penghasilan kandungan merangkumi pelbagai kategori.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dana di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu menyediakan enam kategori bagi membuka peluang kepada lebih ramai penggiat industri, termasuk bakat baharu dan artis veteran.

Menurut beliau, antara tumpuan dana itu adalah memberi ruang kepada pembikin filem baharu menerusi Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), selain membantu artis veteran menghasilkan karya melalui Dana Super Telefilem Artis Veteran (STAR).

“Kita juga mahu menggalakkan penghasilan kandungan baharu yang memenuhi keperluan pasaran digital masa kini, seperti mikro drama untuk platform OTT,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya malam ini.

Enam kategori yang ditawarkan adalah Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka/Cereka Animasi, Dana FAME, Dana Co-Pro Program TV Super Telefilem, Dana Co-Pro Mikro Drama Stesen Penyiar/Platform OTT, Dana STAR dan Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.

Fahmi berkata, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK).

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan penganjuran ASA edisi ke-37 sebagai pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap sumbangan warga industri penyiaran, termasuk tenaga kerja di hadapan dan di belakang tabir.

Menurutnya, penganjuran anugerah itu setiap dua tahun turut memberi peluang untuk menilai perkembangan industri penyiaran serta memastikan kategori yang dipertandingkan terus relevan dengan perubahan semasa.

“ASA diadakan dua tahun sekali, jadi sudah pasti banyak perkembangan dalam industri sepanjang tempoh tersebut.

“Seperti dana mikro drama yang diumumkan tadi, kita percaya bentuk hiburan baharu ini mungkin akan diambil kira dalam kategori ASA akan datang.

“Kementerian akan menilai semula setiap aspek teknikal dan kategori selepas edisi kali ini bagi memastikan anugerah berkenaan kekal relevan dalam memperkukuh identiti ekonomi kreatif negara,” katanya.

ASA 2026 mempertandingkan 60 kategori, termasuk dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa, selain mengembalikan kategori Pengulas Radio Terbaik.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here