SEBANYAK 13 penghuni termasuk empat kanak-kanak berdepan detik cemas selepas terperangkap dalam lif selama lebih 30 minit di pangsapuri di Bayan Lepas, Pulau Pinang petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata, semua mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita itu bagaimanapun berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.14 petang dan sepasukan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru segera ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, lif berkenaan didapati terhenti di tingkat 15 dengan sembilan orang dewasa dan empat kanak-kanak terperangkap di dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
John berkata, bomba menjalankan operasi penyelamatan menggunakan peralatan khas termasuk kunci lif bagi membuka pintu lif berkenaan secara manual.
Katanya, kerja menyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum pintu lif berjaya dibuka pada 5.45 petang dan semua mangsa dikeluarkan dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada 5.52 petang selepas memastikan situasi benar-benar selamat.


