Ops Selamat 25: 820 saman dikeluarkan, ekzos bising jadi fokus

SEBANYAK 820 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi bersepadu Ops Selamat 25 di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur awal pagi tadi bagi memastikan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan maut sempena musim perayaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pperasi yang bermula 10 malam itu turut menahan tujuh individu berusia 18 hingga 41 tahun atas pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, daripada jumlah tangkapan itu, empat individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis ganja dan methamphetamine.

“Kita juga menyita 83 kenderaan merangkumi 73 motosikal dan 10 kereta mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan modifikasi ekstrem termasuk penggunaan ekzos bising,” katanya dalam operasi di Jalan Raja Laut, hari ini, lapor Bernama.

Mohd Zamzuri berkata, isu modifikasi ekzos menjadi fokus utama dalam operasi kali ini memandangkan bunyi bising yang dihasilkan mendatangkan gangguan terhadap ketenteraman awam, khususnya di kawasan bandar raya yang dikelilingi bangunan tinggi.

Kebanyakan motosikal dan kereta yang ditahan dikesan mengubah suai ekzos hingga mengeluarkan bunyi yang sangat bising. Apabila melakukan aktiviti rev kenderaan, bunyinya bergema dan mengganggu penduduk sekitar, katanya sambil menambah individu termuda yang diperiksa dalam operasi itu berusia 16 tahun.

Dalam operasi bersepadu melibatkan kekuatan 100 pegawai dan anggota itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 640 notis atas pelbagai kesalahan, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 12 kompaun berkaitan pencemaran bunyi.

Katanya, sewaktu operasi terdapat seorang penunggang motosikal cuba melarikan diri hingga melanggar kenderaan polis, namun pihak JSPT berjaya menyita motosikal berkenaan dan kini giat mengesan pemiliknya yang melarikan diri.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img