SEORANG pemandu lori direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes disyaki memukul dan mengugut isterinya menggunakan pisau dalam kejadian di rumah mereka semalam.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman di Mahkamah Majistret Batu Pahat, lapor BH.
Berdasarkan laporan polis, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi apabila suspek dikatakan menuduh isterinya yang berusia 42 tahun menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.
Suspek kemudian dipercayai menampar bahagian belakang kepala mangsa sebelum mengacukan sebilah pisau sambil mengugut untuk membunuhnya.
Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat penapis air mengalami kecederaan di kepala serta calar pada hidung sebelum membuat laporan di Balai Polis Tongkang Pechah, semalam.
Siasatan awal mendapati mangsa keluar menonton konsert di ibu negara bersama seorang lelaki lain tanpa pengetahuan suaminya pada Sabtu lalu.
Mangsa turut membawa anak perempuannya untuk menemani sepanjang menghadiri konsert berkenaan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.





