BARISAN Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi memeterai kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
BN akan bertanding 22 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan manakala PN yang diwakili oleh Pas, Wawasan, Gerakan dan Pejuang akan bertanding enam kerusi.
Bagaimanapun kerjasama itu tidak melibatkan Bersatu yang membuat keputusan bertanding secara solo di lapan kawasan termasuk bertemu dengan calon PN di dua kawasan iaitu Ayer Keroh dan Bemban.
Apapun sejauh manakah kerjasama BN-PN khususnya melibatkan UMNO dan Pas akan memberi impak khususnya dari segi meraih undi pengundi Melayu

Berikut pandangan Pengarah Eksekutif ILHAM Centre Hisommudin Bakar:
Pada hemat saya, kerjasama politik antara BN dengan PN, khususnya Pas, semakin memperlihatkan bentuk yang jelas selepas pengalaman PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Formula persefahaman antara dua entiti politik yang mempunyai asas sokongan Melayu-Islam ini dilihat semakin kukuh dalam menghadapi PRN Melaka.
Kerjasama ini bukan sekadar bertujuan mempertahankan kerusi marginal, tetapi merupakan sebahagian daripada proses penjajaran semula kekuatan politik Melayu yang sebelum ini terpecah akibat persaingan sesama sendiri.
Dari sudut tingkah laku pengundi, kerjasama ini berpotensi mewujudkan pemusatan sokongan pengundi Melayu kepada satu gabungan politik yang lebih dominan.
Persaingan tiga penjuru dalam pilihan raya terdahulu telah menyebabkan fragmentasi undi Melayu sehingga memberikan kelebihan kepada pihak lawan. Justeru, persefahaman BN-Pas membuka ruang kepada konsolidasi undi Melayu, khususnya di kawasan majoriti Melayu.
Kekuatan PN di Melaka juga tidak boleh dipandang ringan. Dalam PRU15, PN berjaya menguasai tiga daripada enam kerusi Parlimen di negeri tersebut.
Pencapaian ini membuktikan kewujudan asas sokongan yang signifikan. Pas mempunyai nilai strategik kepada BN melalui pengaruh politik, jaringan akar umbi dan keupayaan mobilisasi penyokong yang boleh membantu meningkatkan daya saing gabungan tersebut.
Bagaimanapun, majoriti tipis yang direkodkan dalam PRN Melaka 2021 tidak lagi sesuai dijadikan ukuran tunggal keselamatan sesuatu kerusi. Data tersebut sudah bersifat obsolete kerana pilihan raya berkenaan berlangsung sebelum pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik.
Pertambahan pengundi baharu telah mengubah komposisi serta dinamika persaingan di setiap kawasan.
Secara keseluruhannya, kerjasama BN-Pas mempunyai rasional elektoral yang kuat untuk mengurangkan perpecahan undi Melayu.
Namun, kekuatan sebenar kerjasama ini bukan sekadar penjumlahan undi kedua-dua parti secara matematik, sebaliknya bergantung kepada keberkesanan pemindahan undi, penerimaan calon dan kemampuan jentera kedua-dua parti bergerak sebagai satu pasukan.
Bagaimana pula dengan peluang PN dan Bersatu?
Pada pandangan saya, persoalan utama dalam menilai peluang PN ialah sejauh mana pemindahan undi antara penyokong parti yang bekerjasama benar-benar berlaku.
Pada peringkat awal, saya mempunyai kegusaran mengenai penerimaan akar umbi terhadap persefahaman BN-Pas. Namun, apabila kepimpinan UMNO mengeluarkan arahan jelas supaya ahli menerima kerjasama tersebut, saya melihat terdapat asas yang lebih meyakinkan bahawa persefahaman politik ini mampu diterjemahkan kepada sokongan di dalam peti undi.
Bagaimanapun, saya membezakan potensi pemindahan undi kepada Pas berbanding Wawasan dan komponen PN yang lain. Pas mempunyai identiti politik, jaringan organisasi dan kelompok penyokong yang lebih mapan.
Sebaliknya, bagi calon Wawasan, saya masih mempunyai keraguan sama ada pemindahan undi daripada penyokong BN akan berlaku pada kadar yang sama. Keserasian antara kepimpinan parti tidak semestinya diterjemahkan kepada penerimaan yang seragam dalam kalangan pengundi.
Bagi Bersatu pula, parti tersebut masih mencari rentak dan menentukan kedudukan politiknya selepas tidak lagi sehaluan dengan Pas.
Perkembangan berkaitan persefahaman keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan Persekutuan turut memberikan isyarat kemungkinan hubungan politik yang lebih pragmatik dengan PH. Walaupun CSA tidak semestinya membawa kepada pakatan pilihan raya, ia membuka ruang kepada penjajaran politik yang baharu.
Saya melihat PRN Melaka bukan sekadar pertandingan menentukan kerajaan negeri, tetapi medan pengujian formula kerjasama politik menjelang PRU16.
Selepas Melaka, tumpuan parti-parti politik akan semakin terarah kepada persiapan pilihan raya umum.
Keputusan PRN ini bakal menjadi petunjuk penting terhadap keberkesanan pemindahan undi, penerimaan pengundi dan daya tahan persefahaman politik yang sedang terbentuk.
Dalam kerangka lebih luas, saya tidak menolak kemungkinan landskap politik negara sedang bergerak ke arah pembentukan dua blok politik dominan menjelang PRU16.
Bagaimanapun, dominasi ini masih boleh dicabar oleh parti-parti kecil seperti Bersama, Berjasa dan entiti politik lain.
Justeru, Melaka berpotensi menjadi titik tolak kepada pembentukan electoral pact yang lebih jelas, apabila pertimbangan kebolehmenangan dan keperluan membina gabungan yang kompetitif semakin mengatasi persaingan tradisional antara parti.





