Mahkamah Syariah Kelantan arah wanita miliki dua suami mufaraqah

MAHKAMAH Tinggi Syariah Kelantan hari ini mengarahkan seorang wanita yang bernikah dengan lelaki warga Pakistan ketika masih sah bergelar isteri menjalani mufaraqah bagi merungkai kekusutan status perkahwinannya.

Hakim Mohd Anwan Ab Muttalib mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan difailkan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Islam Daerah Kota Bharu, Naim Md Ghazali.

Menurut Naim, wanita itu, Che Rosmizan Che Seman telah berkahwin dengan suami pertamanya, Rosman Yusof, 47, pada 22 September 2000 mengikut carian Sistem Maklumat Perkahwinan Islam (e-Nikah) dan hanya disahkan bercerai secara rasmi pada 14 Januari lalu di Mahkamah Syariah Bachok.

Katanya, sebelum perceraian dimuktamadkan, wanita berkenaan didapati telah melangsungkan pernikahan dengan lelaki warga Pakistan, Muhammad Hussain pada 8 Disember lalu di Mukim Bunut Payong, Kota Bharu.

“Ketika itu perkahwinan pertamanya masih sah di sisi undang-undang.

“Keadaan ini jelas bertentangan dengan hukum syarak kerana seorang wanita tidak dibenarkan mempunyai dua suami dalam satu masa.

“Selain menimbulkan kekeliruan terhadap rekod perkahwinan dan implikasi undang-undang,” katanya ketika dihubungi pada Isnin, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini dilaporkan seorang pesara tentera membuat laporan polis mendakwa isterinya berkahwin dengan lelaki warga Pakistan ketika mereka masih sah sebagai pasangan suami isteri.

Lelaki berusia 47 tahun itu berkata, dia mengetahui perkara itu Selasa lalu ketika hadir ke pejabat agama di Bachok untuk mengambil dokumen perceraian.

Naim berkata, beliau telah memohon mahkamah mengeluarkan perintah mufaraqah atau apa-apa perintah lain yang difikirkan sesuai.

Katanya, tindakan itu bertujuan menyelesaikan status perkahwinan berkenaan mengikut hukum syarak dan undang-undang.

Susulan itu, Hakim Mohd Anwan kemudian memerintahkan pasangan itu tinggal berasingan dan melaporkan diri ke pejabat agama daerah bagi menyelesaikan status perkahwinan serta perkara berkaitan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img