Takiyuddin tegaskan Pas tetap akan terajui Perikatan Nasional

PAS tetap mahu menerajui Perikatan Nasional (PN), malah calon bagi jawatan berkenaan juga sudah ada dan akan diputuskan pada Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu, Ahad ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, parti berkenaan sudah bersetuju untuk menerajui PN dan mendakwa perkara itu juga dipersetujui rakan komponen dalam gabungan terbabit.

“Kita sudah bersetuju untuk terajui PN, pengerusi yang baharu adalah daripada Pas. Malah, perkara ini juga sudah dipersetujui parti komponen lain dalam PN.

“Sebelum ini memang ada mengatakan terdapat parti yang tidak bersetuju lantik pengerusi daripada Pas, namun perkara itu tidak berbangkit apabila kesemua sudah bersetuju dengan pelantikan pengerusi daripada Pas,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman Presiden Gabungan Pertubuhan Tionghwa, Datuk Oie Poh Choon di Kota Bharu hari ini, lapor BH.

Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN berkata, calon pengerusi gabungan itu daripada Pas akan dikemukakan dalam Mesyuarat Luar Biasa MT PN di Kuala Lumpur, dijadualkan hujung minggu ini yang dijangka membincangkan dua agenda, iaitu penerimaan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan pelantikan penggantinya.

Media sebelum ini melaporkan, kemelut yang berlaku membabitkan pelantikan Pengerusi PN yang baharu akan diselesaikan menerusi mesyuarat luar biasa MT gabungan itu pada Ramadan nanti.

Hujung bulan lalu, media melaporkan Muhyiddin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula berikutan pertikaian dalaman berhubung pelantikan ketua baharu.

Dalam sepucuk surat kepada pimpinan Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Muhyiddin dilaporkan berkata, Bersatu dan Pas bersetuju PN distruktur semula melalui penubuhan dua badan baharu, iaitu Majlis Presiden yang diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang dipengerusikan Pas.

Cadangan itu bagaimanapun mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan pimpinan PN apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan jawatan Pengerusi PN kekal dan tidak dimansuhkan.

Abdul Hadi turut menegaskan, pemansuhan jawatan Pengerusi PN serta pelantikan pengerusi baharu seperti didakwa tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh Pas, termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img