Dua remaja bawah umur terbabit aksi wheelie didenda RM5,000 dan RM4,300

DUA remaja berusia 14 tahun masing-masing didenda RM5,000 dan RM4,300 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini selepas mengaku bersalah melakukan aksi berbahaya ‘wheelie’ ketika menunggang motosikal.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mohd Nazri Omran selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, dua remaja itu didakwa menunggang motosikal dengan mengambil bahagian dalam aktiviti menduga kelajuan secara berbahaya sambil melakukan aksi ‘wheelie’ iaitu mengangkat tayar hadapan motosikal ketika bergerak.

Perbuatan itu didakwa membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain di Jalan Perindustrian Padang Tembak, Kota Bharu kira-kira jam 6.50 petang, 19 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua remaja itu turut berdepan pertuduhan berasingan kerana menunggang motosikal di jalan raya ketika berusia bawah 16 tahun pada lokasi dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39(5) akta sama.

Selain itu, seorang daripada mereka turut didakwa menggunakan motosikal di jalan raya tanpa mempamerkan nombor pendaftaran hadapan.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14(4) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Afifi Jannati Asshaari manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here