Seludup dadah guna aset tentera: Ahli politik terbabit akan disiasat – PM

TIADA sesiapa akan terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah yang menyalahgunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk ahli politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan akan dijalankan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah itu.

Beliau menegaskan, tindakan membanteras sindiket berkenaan adalah risiko yang sanggup diambilnya demi memastikan pihak terbabit dipertanggungjawabkan serta mempertahankan integriti dan kedaulatan negara.

“Jika ahli politik juga terbabit, tiada siapa (akan dibiar terlepas). Percayalah, ini adalah risiko yang saya ambil supaya mereka yang terlibat dipertanggungjawabkan,” katanya ketika berucap pada majlis Jelajah Wira MADANI Bersama TUDM di Pangkalan Udara Butterworth petang ini.

Menurut Anwar, arahan sudah diberikan kepada agensi penguatkuasaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kes penyalahgunaan pesawat TUDM bagi kegiatan jenayah berkenaan.

“Memang kita pantau lama. Bila kita dapat keterangan, saya terus menghubungi Panglima Angkatan Tentera, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri pada masa saya di Shenzhen, China.

“Saya kata ‘no stone unturned’ (siasat habis-habisan). Gunakan kes ini untuk ambil tindakan setegas dan sekeras mungkin bagi menyelamatkan imej TUDM serta angkatan tentera dengan merujuk khusus kepada mereka yang bertanggungjawab,” tegas beliau.

Perdana Menteri berkata, kegiatan penyeludupan dadah itu bukan isu terpencil yang hanya membabitkan TUDM, sebaliknya mempunyai rangkaian lebih luas yang turut melibatkan pelabuhan, lapangan terbang dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Beliau berkata, sindiket berkenaan sudah lama beroperasi, manakala siasatan turut membabitkan orang awam serta anggota badan penguatkuasaan lain.

“Pagi tadi pun saya sudah menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya nyatakan jangan ada apa-apa gangguan. Kita mahu tindakan yang tegas, keras dan segera. Apa erti kemerdekaan dan usaha kita mempertahankan negara jika kita izinkan ketirisan serta jenayah sebegini terus berlaku?,” katanya.

Anwar turut mengakui terkejut apabila mendapati aset penerbangan tentera boleh dieksploitasi sindiket untuk menjalankan kegiatan penyeludupan dadah.

Menurutnya, rangkaian sindiket berkenaan dipercayai lebih luas dan tidak hanya membabitkan anggota TUDM semata-mata.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here