Pas persoal tindakan DBKL tutup, rampas reruai Street Dakwa MRM

PAS hari ini kesal dengan tindakan  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menutup dan merampas reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang pada hari cuti Tahun Baharu Cina semalam.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, umum mengetahui bahawa MRM ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang bergerak menyampaikan mesej Islam yang sebenar kepada masyarakat, termasuk golongan belum Muslim dan Muslim.

‘’ Dimaklumkan bahawa mereka telah menjalankan aktiviti Street Dakwah di lokasi tersebut sejak lebih 14 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, aktiviti yang dijalankan bersifat penerangan, pendidikan dan pemberian kefahaman mengenai Islam kepada masyarakat umum. Aktiviti ini dilaksanakan tanpa mengganggu lalu lintas dan tanpa menjejaskan ketenteraman awam,’’ kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Tuan Ibrahim berkata, tindakan menghantar sejumlah pegawai untuk menutup serta merampas bahan dakwah tanpa notis atau saman menimbulkan persoalan.

‘’Adakah aktiviti dakwah Islam kini dianggap suatu kesalahan, sedangkan Islam ialah agama Persekutuan dan kebebasan beragama serta urusan berkaitan agama dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 3(1)?,’’ soal beliau.

Lebih menghairankan tegas Tuan Ibrahim, MRM menyatakan, mereka tidak dimaklumkan tentang sebarang keperluan pematuhan atau syarat-syarat tertentu bagi membolehkan aktiviti Street Dakwah dijalankan.

‘’Maka timbul persoalan sama ada tindakan ini benar-benar bersandarkan pematuhan undang-undang, atau sebaliknya seolah-olah merupakan respons terhadap Saudara Firdaus Wong yang lantang memperjuangkan isu-isu berkaitan hak dan kepentingan Islam sejak kebelakangan ini. Perkara ini wajar dijelaskan secara tuntas oleh DBKL bagi mengelakkan sebarang persepsi yang tidak baik,’’ katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih membingungkan, tindakan penguatkuasaan yang begitu pantas dan responsif terhadap reruai dakwah yang aman ini dilihat berbeza dengan tahap reaksi terhadap pelbagai gejala sosial yang lebih ketara dan terbuka di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur, sama ada di kawasan yang sama mahupun di tempat awam yang lain.

‘’Kegiatan tidak bermoral yang menyakitkan mata masyarakat seolah-olah dibiarkan tanpa tindakan setegas ini. Justeru, apa yang dikesalkan ialah keutamaan penguatkuasaan DBKL sepatutnya selari dengan kepentingan awam serta nilai kesejahteraan masyarakat,’’ tegasnya.

DBKL wajar menghargai usaha mana-mana pihak yang secara sukarela mengajak masyarakat kepada kehidupan yang lebih baik dan sejahtera. Aktiviti dakwah yang dilaksanakan secara tertib serta tidak mengganggu orang ramai sewajarnya dilihat sebagai sumbangan kepada pembinaan akhlak dan keharmonian sosial.

Diharapkan DBKL dapat memberikan penjelasan yang telus berhubung tindakan ini serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, konsisten dan profesional. Kepercayaan rakyat terhadap institusi awam bergantung pada ketelusan dan keadilan dalam setiap tindakan yang diambil.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden PAS

18 Februari 2026

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img