SEORANG lelaki berkongsi pengalaman hampir termakan skru yang terdapat dalam pulut panggang yang dibelinya di bazar Ramadan.
Menerusi hantaran di TikTok, Affendy02 berkata, juadah itu dibelinya untuk berbuka puasa.

“Aku nyaris tercekik skru waktu berbuka tadi. Nasib baik semasa mengunyah, boleh tergigit skru.
“Kalau dawai kokot tu biasa dengar, harap peniaga bazar periksa bendasing macam ini,” kongsinya.
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna di aplikasi itu.
Susulan itu, ramai pengguna TikTok menyifatkan peniaga berkenaan cuai dalam menyediakan makanan untuk dijual dan tidak menjaga kualiti, yang berpotensi membahayakan pengguna, terutama kanak-kanak.
Selain itu, beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman membeli juadah di bazar Ramadan yang telah basi ketika hendak berbuka puasa.
Sehingga kini, video tersebut meraih ratusan ribu tontonan dan hampir 400 maklum balas di platform berkenaan.


