PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah sisa plastik dan elektronik bernilai lebih RM3.37 juta yang diproses secara haram selepas menyerbu sebuah premis di Seberang Perai Selatan, di Nibong Tebal kelmarin.
Serbuan dilakukan jam 11 pagi dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pemilik premis ditahan.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, siasatan awal mendapati suspek menjadikan premis itu sebagai lokasi pemprosesan material plastik dan penyimpanan sisa elektronik tambahan tanpa kelulusan JAS dan MBSP.
“Premis ini mula beroperasi sejak awal tahun 2025 dengan mendapatkan bekalan sisa plastik daripada kilang-kilang semikonduktor di kawasan sekitar.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis itu menemui pelbagai sisa elektronik yang disimpan dalam jumbo bag serta tong dram yang mengandungi cecair minyak tercemar yang keseluruhannya bernilai lebih RM3.37 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, fasiliti terdapat di dalam premis itu digunakan untuk memproses bahan plastik dan bijian plastik yang telah diproses akan dieksport ke luar negara.
“Dalam operasi ini, MBSP juga mengeluarkan satu notis pemberhentian aktiviti perkilangan dan mengenakan kompaun berjumlah RM500 kepada pengurus premis.
“Kes ini diserahkan kepada JAS negeri dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.


