Hantaran hina kerabat diraja Terengganu: MCMC siasat individu muat naik kandungan

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat dakwaan seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan bersifat mengancam, menghina dan jelik melampau terhadap kerabat diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di platform X.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan kandungan itu didapati menyentuh sensitiviti institusi diraja dan mengandungi unsur penghinaan serta ancaman yang berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam dan gangguan terhadap ketenteraman negara.

INDIVIDU terlibat dipanggil untuk rakaman percakapan di Balai Polis Lanchang, Temerloh semalam. GAMBAR: MCMC

“Bagi membantu siasatan, individu berkenaan telah dipanggil untuk sesi rakaman percakapan yang dijalankan di Balai Polis Lanchang semalam,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut MCMC, satu unit telefon bimbit berserta kad sim telah disita bagi tujuan analisis forensik digital manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap institusi diraja, dan orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas dan profesional selaras dengan undang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak,” menurut MCMC.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img