PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kabinet akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung isu tarif Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat ini.
“Baru kita respons. Tunggu hari Jumaat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, di ibu negara hari ini.
Mahkamah Agung AS pada Jumaat lalu membatalkan sebahagian besar daripada langkah tarif diperkenalkan Donald Trump sebelum ini, dengan memutuskan Presiden AS itu tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang negara berkenaan untuk mengenakan tarif menyeluruh secara unilateral.
Trump kemudian dilapor berkata, beliau akan mengenakan tarif baharu sebanyak 10 peratus terhadap negara di seluruh dunia di bawah kuasa baharu selepas Mahkamah Agung membatalkan kempen cukai import globalnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pada masa ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang meneliti perkara itu.
Menurut beliau, MITI kini menyelaras perkara berkenaan bersama pihak berkepentingan termasuk di Washington serta rakan-rakan di Asia Tenggara bagi menentukan hala tuju seterusnya.


