REJIM Israel yang menyifatkan mereka berada lebih atas daripada undang-undang antarabangsa berikutan mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) terus melakukan kekejaman dan melayan tahanan rakyat Palestin bagaikan ‘haiwan pameran’.
Ia berikutan tindakan Ketua Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) dilaporkan menjemput sekumpulan peneroka haram Israel menyertai satu lawatan yang digambarkan sebagai “safari” bagi melihat tahanan Palestin dalam keadaan dihina, dipaksa berbaring di lantai dan digari, di tengah-tengah peningkatan dakwaan serangan serta penyeksaan terhadap tahanan semalam.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh laman berita Israel, Shomrim, sekumpulan peneroka dari penempatan haram Har Homa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki telah dibawa melawat salah satu penjara paling ketat di Israel.
Pesuruhjaya Ketua IPS, Kobi Yaakobi, dilaporkan menjadi tuan rumah kepada kumpulan peneroka tersebut. Lawatan itu termasuk kunjungan ke beberapa sayap penjara, sesi pengajian Torah serta jamuan makan tengah hari.
Laporan berkenaan menegaskan bahawa kemudahan IPS tidak dibuka kepada orang awam yang mahu “melihat dan terpesona”, malah mempunyai prosedur kemasukan yang ketat berhubung siapa yang dibenarkan masuk.
IPS sejak sekian lama dikenali sebagai sangat selektif dalam membenarkan kemasukan ke premisnya, termasuk menghadkan lawatan keluarga dan peguam serta melarang kumpulan hak asasi daripada menjalankan siasatan.
Pada September lalu, pihak penjara turut mengekalkan larangan menyeluruh terhadap lawatan International Committee of the Red Cross ke atas tahanan Palestin, dengan alasan kemasukan badan itu boleh menimbulkan “ancaman keselamatan negara”.
Menurut Shomrim, lebih 20 peneroka dibawa dari Har Homa ke Nitzan Prison berhampiran Ramla, dan lawatan itu digambarkan sebagai “safari”.
Tahanan dilaporkan dipaksa berbaring di lantai dalam keadaan digari, menurut pengunjung penjara. Sumber IPS bagaimanapun menyatakan bahawa kaedah tersebut adalah prosedur biasa ketika aktiviti operasi dijalankan.
Selepas sesi soal jawab, para peneroka disajikan makan tengah hari mewah yang disediakan khas, menurut laporan itu.
Perbuatan jahat Israel itu turut didedahkan oleh Setiausaha Agung Inisiatif Kebangsaan Palestin (PNI) Mustafa Barghouti yang juga doktor perubatan melalui platform X.
Mustafa Barghouti dikenali sebagai tokoh yang memperjuangkan pendekatan politik tanpa keganasan, reformasi dalaman Palestin, serta hak asasi manusia.

Lebih 9,300 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan wartawan, kini ditahan di penjara Israel. Berdasarkan kemas kini terbaharu pada 19 Januari oleh kumpulan advokasi tahanan Palestin, sejak Oktober 2023 — apabila Israel melancarkan serangan ke atas Gaza — jumlah tahanan Palestin dilaporkan meningkat dua kali ganda.
Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Persatuan Banduan Palestin (PPS), sekurang-kurangnya 87 tahanan yang dikenal pasti telah meninggal dunia di penjara Israel sejak bermulanya perang di Gaza, di tengah dakwaan penyeksaan dan kecuaian perubatan. Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 51 adalah tahanan dari Gaza termasuk seorang kanak-kanak, yang disifatkan sebagai angka tertinggi dalam sejarah.
Sejak 1967, seramai 324 tahanan Palestin dilaporkan meninggal dunia dalam penjara Israel. Kumpulan berkenaan menyatakan identiti ramai tahanan dari Gaza yang terkorban masih tidak didedahkan, sambil menyifatkan keadaan ini sebagai “fasa paling berdarah dalam sejarah gerakan tahanan”.
Sementara itu, laporan terbaharu oleh Physicians for Human Rights–Israel (PHRI), berdasarkan data yang diperoleh daripada tentera Israel dan IPS, mendakwa 98 rakyat Palestin telah meninggal dunia dalam penjara dan pusat tahanan tentera Israel sejak Oktober 2023. Banyak kes didakwa berpunca secara langsung daripada penyeksaan, pengabaian rawatan perubatan dan kekurangan makanan oleh anggota tentera serta pegawai penjara.
Daripada tahanan yang ditangkap dari Gaza — yang merupakan majoriti — kurang daripada satu pertiga diklasifikasikan oleh tentera Israel sendiri sebagai militan, menunjukkan bahawa puluhan orang awam Palestin dipercayai maut ketika dalam tahanan.


