MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas seorang ahli perniagaan selepas menyemak semula hukuman Mahkamah Majistret berkaitan kes serangan terhadap seorang warga emas bulan lalu.
Insiden itu tular selepas rakaman videonya tersebar luas.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan hukuman penjara tersebut terhadap Saiful Adli Yusof, 52, dalam prosiding semakan semula membabitkan dua pertuduhan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah terhadap Liew Khoon Foo, 70.
Mahkamah menggunakan Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk membatalkan denda RM5,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 10 Feb.
“Anda dijatuhi hukuman penjara empat bulan bermula hari ini. Bagi kedua-dua pertuduhan, hukuman itu berjalan serentak,” kata Aslam, lapor FMT.
Sewaktu menyampaikan keputusan, Aslam menegaskan tindakan Saiful sebagai melampau dan telah memberikan impak yang mendalam kepada mangsa.
Terdahulu, Liew membacakan pernyataan impak mangsa dalam bahasa Mandarin. Beliau meluahkan rasa trauma, takut untuk keluar rumah dan tidak lagi berani memandu.
Liew menjelaskan beliau terpaksa menerima enam jahitan pada lidahnya yang menyebabkan kesukaran untuk makan, selain menafikan dakwaan beliau sengaja melanggar kenderaan Saiful.
“Saya tiada niat untuk melanggar keretanya. Mungkin faktor usia menyumbang kepada kejadian itu dan laporan polis mengenai kemalangan tersebut telah pun dibuat.
“Saya bimbang dia berdendam dan akan mencari saya semula. Saya memohon hukuman yang setimpal dikenakan,” katanya.
Dalam rayuan meringankan hukuman, peguam Syakir Haznal menyatakan anak guamnya tidak menyerang mangsa secara melulu, sebaliknya terlebih dahulu mengetuk pintu kereta untuk berbincang mengenai kejadian tersebut.


