JABATAN Imigeresen Kuala Lumpur menumpaskan sindiket ‘David Lawrence’ yang bertanggungjawab mendalangi pemalsuan visa antarabangsa selepas menahan sepasang suami isteri warga Bangladesh.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengarahnya, Marina Habibon, berkata sindiket itu menawarkan visa palsu ke negara Eropah dengan bayaran mencecah RM20,000 bagi setiap dokumen.
“Kejayaan ini adalah hasil operasi risikan selama tiga bulan. Sindiket tersebut didalangi oleh pasangan suami isteri warganegara Bangladesh berusia lingkungan 30-an dan dipercayai aktif sejak lapan bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat risikan, serbuan dilakukan pada 10 Februari di sebuah kediaman di Sungai Besi yang dijadikan markas operasi.
“Hasil serbuan, Jabatan telah merampas beberapa pasport Bangladesh, cop palsu negara asing, slip imigresen yang disyaki palsu, telefon bimbit, komputer riba serta pelbagai peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan tersebut,’’ katanya.
Habibah menjelaskan, modus operandi sindiket tersebut ialah memproses visa antarabangsa palsu untuk pelanggan di Bangladesh.
“Dokumen pelanggan akan dihantar ke Malaysia melalui kurier antarabangsa sebelum dipalsukan dan digunakan bagi tujuan perjalanan ke negara Eropah,’’ katanya.
Beliau memberitahu, kedua-dua suspek telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan.
“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM112,000. Bagaimanapun kedua-dua tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara selama 45 bulan selepas gagal membayar dendam berkenaan,’’ katanya.
Habibah turut memaklumkan selepas menjalani hukuman, kedua-dua mereka akan dihantar pulang ke negara asal dan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.


