PENUNTUT sebuah universiti tempatan di Kuantan yang ditahan susulan tular gambar lelaki memijak kitab suci al-Quran sebelum memuat naik di media sosial, direman empat hari bagi membantu siasatan bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, penuntut terbabit ditahan di Kuantan awal pagi ini, susulan laporan polis yang dibuat bapa suspek.
Menurut beliau, bapa penuntut terbabit hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membuat laporan mengenai hantaran di media sosial dilakukan anaknya berkaitan penghinaan terhadap al-Quran.
Beliau berkata, anak pengadu berusia 21 tahun memuat naik gambar menghina kitab suci Agama Islam di media sosial miliknya.
“Pengadu datang ke balai polis bersama anaknya dengan tujuan memohon maaf kepada orang Islam.
“Tindakan itu dilakukan pengadu kerana bimbang keselamatan anaknya selepas membuat hantaran menghina Islam di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak semalam tular dalam media sosial, gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut sebuah universiti awam di sini.
Turut tular gambar suspek serta tangkap layar komen penuntut terbabit menghina Nabi Muhammad SAW.
Ashari berkata, susulan laporan itu polis menahan anak suspek untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 28 Februari.
“Orang ramai dinasihatkan bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri hingga boleh mengugat ketenteraman awam,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 298 kanun keseksaan kerana melakukan tindakan menghina agama lain.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjara hingga setahun dan didenda atau kedua-dua sekali.
Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.


