PAS tidak lagi boleh berpuas hati dengan hanya menjadi ‘jaguh kampung’ jika ingin dilihat berperanan lebih dominan di peringkat nasional.
Sehubungan itu Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menunjukkan Pas muncul kuasa dominan di Parlimen, mengatasi semua parti lain dengan memenangi 43 kerusi.
“Pas lebih besar daripada DAP, yang sebahagian besarnya kekal statik. Evolusi Pas stabil berbanding parti lain dan ini kali pertama Pas mempunyai jumlah kerusi Parlimen paling banyak.
“Kalau nak jadi jaguh sebenar, kita perlu tampil ke depan, tak boleh bertanding di kampung sendiri saja. Kalau nak bersaing di peringkat negeri, persekutuan atau antarabangsa, kita perlu hadapi realiti (masyarakat majmuk Malaysia).
“Sudah tentu, kita mempunyai rancangan dan strategi jelas tentang cara berdepan dengan masyarakat berbagai kaum yang sangat kompleks. Itulah sifat sebenar negara kita. Kita tidak dapat mengelak,’’ katanya.
Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan bekas Perdana Menteri Tan Sr Muhyiddin Yassin berkata demikian ketika menjadi tetamu podcast ‘Lebih Masa’ yang dihoskan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ahmad Samsuri berkata, komposisi Parlimen ini memberi isyarat parti Islam berkenaan tidak lagi berada dalam kedudukan membantu dalam PN.
“Tentunya kami melihat sudah sampai waktu dan ketikanya kami memainkan peranan lebih penting dalam pembentukan negara. Nak jadi apa jadilah. Sebelum ini, mungkin kita berada (dalam peranan) membantu…kita bersama, kita memperkuatkan. Tapi sekarang ini, kita boleh lihat (Pas) dengan komposisi Ahli Parlimen dan ADUN paling besar,’’ katanya.


