TIDAK sampai 4 jam umat Islam di Selatan Thailand berbuka puasa pada hari pertama 1 Ramadan lalu, kira-kira pukul 10.40 malam hari yang sama polis di daerah Sai Buri, Pattani menerima laporan bahawa puak pemisah menembak mati seorang penduduk di Mukim Kadunung.
Apa yang menyedihkan, mereka tergamak membunuh seorang penduduk beragama Islam Mhuktar Che Hat dengan melepaskan sekurang-kurannya tujuh das tembakan di tubuh lelaki berkenaan. Setakat ini polis masih menyiasat punca kejadian tersebut tetapi yang pasti ia membuktikan sikap ‘tidak berhati perut’ Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Puak pemisah sanggup melakukan keganasan pada bulan suci dan penuh kemuliaan ini kononnya bagi menunjukkan mereka masih lagi wujud dan ada kekuatan. Sebelum itu pada 15 Februari mereka melakukan tujuh letupan kecil menggegarkan dua daerah di Narathiwat – dalam siri serangan yang dipercayai cuba mencetuskan ketegangan menjelang Ramadan.

Khabarnya perbuatan itu dilakukan oleh Cabang Militer BRN sebagai tanda protes terhadap tindakan Cabang Politik yang mahu mewujudkan pentadbiran sendiri, sedangkan Cabang Militer mahu menuntut kemerdekaan sampai ke mati. Selain itu serangan berkenaan dikatakan ‘buah penamat’ sebelum Ramadan.
Serangan yang terjadi membuktikan bahawa BRN mempunyai masalah dalaman di antara Cabang Politik dengan Cabang Militer. Sekiranya tidak diselesaikan segera oleh BRN sebarang usaha mewujudkan keamanan di Selatan Thailand melalui meja rundingan akan terjejas.
Pelaku sebenar keganasan di Selatan Thailand masih terus menjadi teka-teki kedua-dua cabang BRN perlu mencari jalan penyelesaian dalam menghentikan semua keganasan ketika usaha rundingan kini menampakkan ada sedikit kejayaan . Tambahan pula masyarakat Islam di wilayah bergolak tetsebut amat berharap dapat melaksanakan ibadah puasa dengan tenang.
Cabang Politik boleh sahaja ‘berseronok-seronok’ datang ke mesyuarat dengan diberi layanan VIP atas tanggapan kononnya merekalah pihak paling tepat diajak berunding bagi menamatkan krisis di Selatan Thailand. Tetapi dari semasa ke semasa terbukti mereka tidak mampu menghentikan keganasan yang dicetuskan oleh Cabang Militer.
Kalau itu jawapannya apa gunanya proses rundingan damai melibatkan Cabang Politik? Misi, tujuan, matlamat dan proses damai yang sedang dilaksanakan dengan Malaysia menjadi fasilitator ialah untuk mewujudkan keamanan, membina kedamaian dan seterusnya membawa kesejahteraan kepada penduduk wilayah tersebut.
Bagi mencapai impian tersebut, keganasan harus dihentikan secara total, atas sebab itulah BRN diajak berunding kerana dianggap pihak paling sesuai yang boleh melaksanakan agenda berkenaan.
Tetapi terbukti sekarang Cabang Politik cakap sahaja berdegar-degar tetapi rupa-rupanya tiada apa-apa kuasa untuk menghentikan keganasan dan membantu mewujudkan keamanan. Persoalannya kalau begitu keadaannya apa guna mereka datang mesyuarat? Apa faedahnya mereka hadir ke meja rundingan? Kalaulah Cabang Politik tidak boleh menamatkan keganasan di wilayah berkenaan lebih baik pemerintah Thailand berunding dengan Cabang Militer BRN sahaja.
Selatan Thailand tidak akan aman selagi pihak yang benar-benar bertanggungjawab melakukan keganasan di wilayah itu tidak diajak berunding. Ketika ini penulis tidak tahu sejauh manakah kemajuan proses rundingan damai dan adakah ia akan berhasil tetapi setakat ini faktanya Selatan Thailand terus dibelenggu dengan keganasan.
Saban hari ini ada sahaja serangan bom dan insan tidak berdosa dibunuh oleh puak pemisah. Mereka sudah tidak peduli, kalau tidak ada manusia menjadi korban, kemudahan awam pula menjadi ‘mangsa’ seperti mana kejadian pada 21 Februari lalu apabila sebatang jalan di Kampung Katok, Chanet, Narathiwat diletupkan.
Dalam serangan bom pada pukul 11.50 pagi itu jalan tersebut rosak teruk sekaligus menjejaskan orang kampung menjalankan aktiviti mereka. Ia membuktikan BRN hanya mementingkan diri sendiri demi perjuangan sia-sia mereka.
Kalau benar mereka berjuang untuk rakyat kenapa rosakkan kemudahan awam? Ini bukanlah kali pertama mereka berbuat demikian. Sebelum ini menara komunikasi, stesen minyak menjadi sasaran BN, tidak terkecuali kedai runcit. Semua kejadian ini hanya menampakkan bahawa BRN tidak pedulikan nasib penduduk Islam.
Mereka hanya berjuang demi kepentingan diri. Serangan atau keganasan yang dilakukan adalah ‘modal’ untuk mereka mendapat laba atau keuntungan peribadi apabila dipanggil berunding oleh pemerintah Thailand. Inilah sebenarnya misi mereka bukannya mahu membela rakyat Selatan Thailand.
Sememangnya menyedihkan apabila di bulan suci ini wilayah tersebut yang majoriti penduduk Islam dicemari dengan keganasan. Entah ke mana kewarasan BRN untuk memahami pada bulan suci Ramadan ini, adalah bulan untuk umat Islam mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam suasana tenang dan aman.
Tetapi impian itu dimusnahkan oleh BRN. Penulis percaya serangan dalam bulan Ramadan ini pasti akan berterusan kerana BRN mahu terus menunjukkan kononnya mereka ada kekuatan dengan cara songsang.
Bagaimanapun ia tidak bermakna rundingan damai harus ditamatkan, ia boleh diteruskan dengan syarat pemerintah Thailand dan Malaysia sebagai fasilitor memastikan Cabang Militer turut diajak bersama dalam proses berkenaan, kalau tidak… impian mahu melihat wilayah itu aman ibarat menanti ayam jantan bertelur.


