SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah unit pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kejadian pada jam 2.59 petang dan sepasukan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil bersama BBP Sri Petaling bergegas ke lokasi.
Sebanyak dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 13 anggota terbabit operasi menyelamat.
Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur, Mohd Azizi Abdullah berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah di tingkat 10 bangunan berkenaan.
“Tindakan pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada sistem bangunan. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.17 petang, dengan anggaran kemusnahan 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seorang kanak-kanak lelaki ditemui di dalam bilik dalam keadaan rentung.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.


