3 wanita antara 9 dalang curi kabel ditahan

POLIS menahan sembilan individu termasuk tiga wanita dipercayai dalang kegiatan curi kabel dalam operasi khas Op Kabel Viral pada 23 dan 26 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua mereka terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan hasil serbuan di Dengkil, Sungai Petani dan Ipoh.

Katanya, semakan mendapati sebahagian besar suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes curi, samun dan penyalahgunaan dadah selain dua daripadanya masih dalam senarai dikehendaki.

“Ujian saringan awal air kencing mengesahkan tujuh suspek positif dadah jenis amphetamine, metamphetamine dan juga THC,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, kumpulan dipercayai aktif sejak tahun lalu didapati menggunakan kelengkapan penyamaran seperti ves, baju berlogo TM, lampu dan topi keselamatan bagi melindungi aktiviti mereka.

Polis turut menyita sebuah kereta BMW, Nissan Navara, lori Mitsubishi Canter, 12 batang kabel dan 20 unit kulit kabel milik TM, selain peralatan seperti pemotong kabel dan besi pembuka penutup lubang penyelenggaraan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 414 Kanun Keseksaan dan semua suspek dijangka dituduh esok.

Sementara itu, Shazeli berkata, empat lelaki yang ditahan susulan kes kecurian tabung surau di Seksyen 7, Shah Alam juga akan didakwa esok bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Kes kecurian tabung surau itu sebelum ini mendapat perhatian Sultan Selangor yang menzahirkan kebimbangan terhadap jenayah melibatkan rumah ibadat dan menggesa tindakan tegas diambil.

Shazeli turut menasihatkan jawatankuasa masjid dan surau memastikan sistem rakaman kamera kitar tertutup (CCTV) berfungsi dengan baik.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img