Enggan beri kunci motosikal, lelaki didakwa acu kerambit pada perut abang

SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Batu Pahat, hari ini atas dua pertuduhan memiliki kerambit serta mengugut mahu merodok perut abang kandung gara-gara enggan menyerahkan kunci motosikal.

Mohd Radhi Hasan, 43, yang juga duda hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat selepas kemalangan jalan raya, mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh dan Majistret Arun Noval Dass.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa memiliki senjata berupa kerambit bersarung berwarna hitam berukuran 19 sentimeter di sebuah rumah di Tongkang Pecah, pada jam 7.15 petang, 25 Februari lalu.

Oleh itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958, dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah terhadap abang kandungnya berusia 47 tahun dengan semua kejadian berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan abang kandungnya kerana marah selepas tidak diberikan kunci motosikal

Rentetan daripada itu, tertuduh tiba-tiba mencekik pengadu sambil mengeluarkan sebilah kerambit dari poket seluarnya yang kemudian diacukan ke leher abangnya itu.

Tertuduh turut mengugut mangsa dengan berkata “aku rodok perut kau, aku bocorkan perut kau” ketika pergelutan berlaku.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh juga menghayunkan cangkul untuk menakutkan mangsa supaya menyerahkan kunci motosikalnya. Kejadian itu turut disaksikan isteri mangsa dan anak tiri tertuduh.

Prosiding di kedua-dua mahkamah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad dan Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Bagi kedua-dua kes, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 30 Mac ini untuk serah dokumen.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img