SEORANG ibu tunggal didenda RM2,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini kerana menghalang anggota polis menjalankan tugas pada 17 Februari lalu.
Tertuduh, Shamima Awang Daud, 38, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Roshayati Radellah turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika ditahan untuk pemeriksaan di Jalan Song Bang Keng, kira-kira jam 8.45 malam, pada 17 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Husna Ridzuan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ketika itu memandu sebuah kereta dengan membawa dua lelaki warga Nepal ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota polis yang membuat tugas rondaan.
Namun, tertuduh enggan memberikan kerjasama, malah bertindak melarikan diri dan menyebabkan anggota polis terbabit mengejarnya sehingga dia ditahan di Kilometer 145.6 arah Selatan sebelum Plaza Tol Juru.
Ketika prosiding, Zulfadzly memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai bentuk pengajaran memandangkan perbuatan tertuduh membahayakan diri dan orang lain.
Peguam YBGK mewakili tertuduh merayu denda minimum dikenakan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja, selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM2,800 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal bayar akan dipenjara selama dua bulan.
Sementara itu, di mahkamah sama, dua lelaki Nepal yang ditahan bersama ibu tunggal terbabit mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki sebarang dokumen sah atau pas untuk masuk ke negara ini.
Roshayati menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap tertuduh, Sahid Dhuiya, 36, dan sekiranya gagal bayar 10 bulan penjara, manakala rakan senegaranya, Bharat Sani, 32, pula dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan.
Kedua-duanya yang masing-masing menetap di Malaysia antara tiga hingga 15 tahun itu melakukan kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.


