Subsidi kerajaan bagi RON95, diesel diunjur masih tinggi sekitar RM3.5 bilion sebulan

TANGGUNGAN subsidi kerajaan bagi petrol RON95 dan diesel berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan susulan konflik Asia Barat.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, daripada jumlah itu, subsidi petrol RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan.

“Walaupun pasaran petroleum global telah menunjukkan trend lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini namun, pasaran petroleum antarabangsa masih dipengaruhi oleh ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia,” kata MoF dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah kementerian itu, harga minyak mentah Brent global kini menyederhana sekitar paras AS$90 setong berbanding AS$120 setong sebelum ini yang mengakibatkan subsidi bulanan bagi petrol RON 95 dan diesel melonjak kepada RM5 bilion sebulan pada Mac 2026 dan memuncak kepada RM7.5 bilion pada April 2026 daripada RM700 juta pada Januari 2026.

MoF menjelaskan, bekalan petroleum negara pada masa ini kekal stabil dan mencukupi, dengan perancangan bekalan yang telah disusun bagi memastikan kelangsungan bekalan bagi tempoh akan datang.

Pada masa sama, Kerajaan MADANI terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka masa panjang dan subsidi bersasar ketika krisis bekalan global masih berlarutan, menurut kementerian itu.

Menurut MoF lagi, pendekatan bersubsidi bersasar membantu mengurangkan tekanan kos kepada rakyat serta memastikan sektor penting negara terus beroperasi dengan stabil dalam keadaan global yang masih mencabar.

Berdasarkan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.

“Kerajaan akan terus mengambil pendekatan seimbang untuk memastikan rakyat terus dilindungi, di samping mengekalkan pengurusan kewangan negara yang bertanggungjawab serta menjamin keterjaminan bekalan bahan api negara,” menurut kementerian itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img