POLIS sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki berusia 29 tahun yang maut akibat ditikam dalam kejadian di Kilometer 12, Jalan Trans Perak, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.49 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan warga tempatan dipercayai mengalami kecederaan akibat ditikam ketika berlaku pergaduhan dengan seorang lelaki yang sudah dikenal pasti.
“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik tempatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam.
Katanya, polis kini giat mengesan suspek dikenali sebagai Mohammad Farizzal Fazly Mohd Zulkifly, 30, yang beralamat terakhir di Kampung Guntur Tenggek, Batu Kikir, Negeri Sembilan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau mengetahui keberadaan suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Murugan Suppiah di talian 012-6992784 atau Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019-6751267.
Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






