
ADA yang bersorak apabila Kerajaan Perpaduan gagal mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Daripada 148 undi yang diperlukan daripada 222 ahli Parlimen, kerajaan hanya kurang dua undi sahaja apabila mendapat 146 undi. Apabila keadaan itu berlaku maka keluarlah pelbagai teori songsang termasuk menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar sudah kehilangan sokongan di Parlimen.
Dalam bulan Ramadan ini sepatutnya kita bukan sahaja perlu mengelakkan daripada prasangka malah paling penting tidak melakukan tohmahan mahupun fitnah. Sebab itulah kita amat digalakkan untuk menyelidiki sesuatu berita atau kejadian sebelum membuat kesimpulan.
Ia bertujuan mengelakkan kita terjebak dalam fitnah dan tohmahan atau ‘’janganlah nampak tak cerdik sangat’. Begitulah juga dalam isu RUU tersebut. Tidak timbul langsung soal Anwar tidak lagi mendapat sokongan di Dewan Rakyat – ia tiada kaitan sama sekali.
Ini bukan pembentangan undi tidak percaya atau percaya terhadap Perdana Menteri atau ke atas seorang individu tetapi ia adalah RUU yang akan melibatkan semua parti tidak kira pembangkang mahupun kerajaan.
Apapun semalam kenyataan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan menutupi segala spekulasi yang bertebaran dan fitnah yang bergetayangan berhubung kenapa majoriti dua pertiga gagal dicapai.
Selain menjelaskan RUU itu dijangka dibentangkan semula pada Jun, beliau juga mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku ketika pengundian mahu dijalankan.
Menurut beliau, Jemaah Menteri menerima taklimat daripada Ketua Whip merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung status lapan ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tidak berada dalam Dewan ketika pengundian dijalankan.
“Di pihak Pakatan Harapan, kehadiran adalah 100 peratus. Lapan ahli Parlimen telah dikenal pasti dan kerajaan akan berusaha memastikan kehadiran penuh pada sidang akan datang bagi meluluskan pindaan penting ini,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya.
Salah satu perkara yang terdedah kenapa majoriti gagal dicapai ialah berlaku salah faham dalam kalangan sebahagian ahli Parlimen pembangkang berhubung tujuan sebenar pindaan tersebut.
Menurut Fahmi, ada dalam kalangan mereka memberi maklum balas kepada seorang menteri bahawa mereka menyangka undian pada hari itu adalah untuk memberi tempoh 10 tahun kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Ini satu salah faham yang tidak sepatutnya berlaku kerana pindaan ini bukan untuk mana-mana individu, sebaliknya bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun bagi memastikan semak dan imbang dalam sistem demokrasi,” katanya.
Diharapkan salah faham itu akan segera selesai bagi membolehkan RUU itu dibentangkan semula Jun nanti.Mana-mana ahli Parlimen yang tidak faham mereka boleh belajar untuk memahami dalam tempoh tiga bulan ini.
Ia kerana seperti mana kata Fahmi, pembentangan RUU tersebut tidak bersifat partisan dan bertujuan mengelakkan situasi di mana seseorang Perdana Menteri merasakan boleh terus berkuasa tanpa had masa.
Ini bukan soal politik tetapi ini sebahagian daripada agenda reformasi institusi untuk memperkukuh demokrasi dan mengelakkan pemusatan kuasa. Sepatutnya sikap terbuka Anwar yang bersedia membawa RUU itu ke Parlimen harus disokong.
Tindakan itu menunjukkan beliau bersedia melakukan reformasi dan menunjukkan komitmen kepada usaha tersebut. Mahu sokong atau tidak, ahli Parlimen ‘fikirlah sendiri’. Kalaupun ditakdirkan kerajaan gagal mendapat majoriti di Dewan Rakyat bagi meluluskan RUU itu, ia bukanlah lagi tanggungjawab atau salah Anwar, sebaliknya sikap ahli Parlimen yang mungkin ada antara mereka mahu terus berpolitik.
Lagipun biasalah dalam Dewan Rakyat, kerajaan hadapi laluan sukar untuk mendapat sokongan majoriti dua pertiga sebab ada pembangkang, itu lebih baik daripada ada individu dalam parti sendiripun tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimennya.


