POLIS mengesahkan insiden melibatkan dua lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori di Taman Sri Kapar, Klang hari ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kejadian berlaku antara 9 hingga 9.30 pagi, namun siasatan lanjut masih dijalankan di lokasi.
“Kejadian melibatkan dua lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori,” katanya lapor FMT.
Shazeli menambah, rempuhan oleh sebuah kenderaan lain yang menyaksikan kejadian menyebabkan kedua-dua suspek cedera.
“Kedua-dua suspek disahkan cedera dan kini berada dalam kawalan pihak polis,” katanya.
Beliau menjelaskan identiti suspek dan butiran lanjut termasuk motif kejadian masih belum dapat disahkan kerana pasukan penyiasat serta forensik masih berada di lokasi.
“Saya tidak boleh mengulas lanjut buat masa ini kerana pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan di lapangan,” katanya.
Polis dijangka mengeluarkan kenyataan selepas siasatan awal selesai.


