POLIS kini memburu seorang lelaki yang beronani sambil memandang seorang wanita yang sedang menunaikan solat di sebuah masjid di Bukit Siput, Segamat, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 40 tahun berhubung kejadian itu pada jam 6.29 petang.
Beliau berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, mangsa sedang menunaikan solat Dhuha sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang berada dalam keadaan separuh bogel dan melakukan onani sambil memandang mangsa.
Menurutnya, mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri bertindak melarikan diri dari masjid berkenaan.
“Siasatan awal mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian berjaya merakam perbuatan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai lelaki warga asing berusia lingkungan 30 tahun, berbadan kurus dan berkulit cerah.
Katanya, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


