
KENYATAAN Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menegaskan tiada perundingan dengan Iran selain daripada negara republik Islam itu menyerah kalah tanpa syarat amat melucukan.
Ia memandangkan Trump dan sahabat baiknya, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang juga pengganas antarabangsa sedang berada keadaan keliru memandangkan tindakan mereka berpakat menyerang Iran mendapat tindak balas hebat daripada negara tersebut.
Mahu Iran menyerah kalah adalah perang saraf AS selepas Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM) yang bertanggungjawab terhadap operas tentera AS di Asia Barat menyatakan serangan peluru berpandu balistik Iran susut 90 peratus sejak hari pertama konflik, manakala serang dron berkurangan 83 peratus.

Kenyataan CENTROM itu menjadi bahan jenaka netizan apabila dalam media sosial bertebaran gambar dan video yang menunjukkan bagaimana teruknya pangkalan tentera AS di Asia Barat diserang dan bagaiman Tel Aviv yang dianggap ibu negara kebal kepada Israel hampir hancur diserang balas Iran.
Itu belum lagi mengambil kira wilayah-wilayah di Palestin yang dijajah oleh Israel turut diserang Iran.Sehingga awal pagi ini kepentingan AS di Asia Barat dan beberapa bandar Israel termasuk Tel Aviv terus menjadi sasaran Iran.
Oleh itu adalah tidak masuk akal jika Trump mengharapkan Iran menyerah kalah. Sepatutnya AS dan Israel ‘menyerah’ kerana mereka kini berhadapan dengan situasi yang tak pernah dialami sebelum ini apabila negara yang mereka serang bertindak balas dengan hebat.
Perkembangan semasa dalam perang yang bertujuan mencapai impian Netanyahu meruntuhkan Iran dengan menjadikan Trump sebagai ‘orang suruhan’ boleh menjejaskan ekonomi AS.
Media barat melaporkan bagaimana untuk dalam tempoh empat hari pada minggu pertama serangan, AS sudah kehilangan RM52 bilion. Selain itu serangan Iran ke atas kapal pengangkut Abraham Lincols sehingga menyebabkan kerosakan besar turut mengejutkan AS.
Semalam Iran menyifatkan perang dengan AS dan Israel sebagai perang yang sah dan suci kerana negara itu mempertahankan diri.
“Bagi kami ini adalah perang yang sah dan suci kerana kami mempertahankan diri. Oleh itu, motivasi dan keazaman angkatan bersenjata Iran jauh lebih kuat daripada musuh kami,” kata Jurucakap Angkatan Tentera Iran Brigedier Jeneral Mohammad Akrami-Nia.
Beliau turut mengingatkan bahawa Iran sebelum ini telah memberi amaran bahawa jika perang tercetus, pangkalan tentera Amerika Syarikat di seluruh rantau ini akan menjadi sasaran.
“Kami kata kami akan menyerang, dan kami melakukannya. Kami juga memberi amaran bahawa perang ini boleh menjadi perang serantau — dan itulah yang sedang berlaku. Kami berkata kami akan bertindak balas segera, dan kami telah melakukannya,” katanya.
Brigedier Jeneral Kioumars Heydari, Timbalan Komander Markas Komando Utama Iran ( al-Anbiya Central Headquarters), menegaskan bahawa peperangan menyeluruh Iran dengan Amerika Syarikat akan terus berlangsung.
Beliau menyifatkan konflik yang sedang berlaku sebagai pertempuran bersejarah antara Iran dan AS.
“Hari ini kita sedang terlibat dalam pertempuran bersejarah dengan Amerika, satu pertempuran yang tidak pernah dialami oleh tentera Amerika dalam sejarahnya yang memalukan.
“Serangan peluru berpandu kami digabungkan dengan penggunaan dron strategik milik Tentera Republik Islam Iran. Pada masa yang sama, pertempuran hebat sedang berlangsung di laut, udara dan juga ruang angkasa dengan Amerika yang angkuh.
“Dengan izin Tuhan, kami telah bertekad bahawa sehingga kami mematahkan kekuatan Amerika dan membuat mereka putus asa, kami tidak akan menghentikan perang ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa Iran akan terus berjuang sehingga AS terpaksa menanggung kerugian besar dalam konflik tersebut.
“Kami akan teruskan perjuangan sehingga kapal-kapal mereka dipenuhi dengan keranda pegawai, anggota dan tentera Amerika untuk dibawa pulang ke Amerika,” tegasnya.
Apa yang dikatakan oleh pegawai-pegawai Iran bukanlah omong kosong. Dalam kenyataan terbaru hari ini, Tentera Iran memaklumkan, sejak awal pagi mereka telah melancarkan beberapa gelombang serangan dron .
Antaranya sasaran ialah terhadap apa yang digambarkan sebagai pusat berkumpul dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di Minhad, Abu Dhabi, Camp Arifjan di Kuwait, serta sistem radar berasaskan karbon di kemudahan strategik Sdot Micha di wilayah yang dikawal Israel.
Oleh itu kalau AS mengatakan Iran sudah mengurangkan 90 peratus serangan peluru berpandu balistik, kalau AS mendakwa serangan dron Iran sudah berkurangan 83 peratus dan kalau Trump mahu Iran menyerah kalah – percayalah semua itu sekadar kenyataan berikutan ‘ketidakstabilan fikiran’ Trump selepas terkejut dengan tindak balas Iran.
Negara republik Islam itu tak akan menyerah, tidak mungkin akan menyerah…hanya Trump bermimpi!


