Pas perlu isytihar jadi peneraju PN…ini masa paling sesuai!

 PADA mulanya Muktamar Tahunan Pas  di Alor Setar dianggap tidak ada apa-apa menarik  biarpun  tahun ini berlangsung  pemilihan. Ia memandangkan lima jawatan utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden sudah diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun apabila Perhimpunan Agung Bersatu pada 7 September meluluskan usul menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri (PM) parti bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), secara tiba-tiba muktamar yang bermula pada Khamis lalu menjadi perhatian.

Dewan Pemuda Pas memulakan langkah dengan meluluskan usul Pas menerajui Perikatan Nasional (PN). Lanjutan itu satu demi satu pemimpin memberi reaksi yang menggambarkan mereka tidak berpuas hati dengan tindakan parti Bersatu.

Sebelum ini sudah banyak kali pemimpin Pas mengingatkan, bukan masanya lagi untuk PN bercakap soal siapa PM kerana misi lebih penting daripada itu ialah menang PRU-16 terlebih dahulu. Malangnya segelintir pemimpin dalam Bersatu  dihinggapi ‘penyakit kronik’ iaitu ‘takut kepada bayang-bayang’ Presiden mereka tidak menjadi calon PM.

Oleh itu mereka mengatur strategi yang kononnya jika diputuskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, rakan-rakan komponen dalam PN khususnya Pas akan akur. Maka dengan penuh semangat mereka membawa dan meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon PM. Mereka yang tidak bersetuju dianggap ‘Si Kitol’ dan tidak mahu dengar keputusan pimpinan atasan.

Kali ini, Pas tidak lagi mahu berdiam diri. Pas tidak mahu lagi sekadar  menggangguk. Pas tidak mahu terus menyokong. Kegelojohan kelompok tertentu yang tidak sabar-sabar mahu Muhyiddin menjadi PM sekali lagi harus diletakkan noktahnya kerana ia ‘drama politik membosankan’ memandang pilihan rayapun belum tentu menang lagi.

Justeru satu demi satu kenyataan dikeluarkan pemimpin Pas sebagai isyarat kepada Bersatu bahawa Pas tidak akan mengikut rentak mereka lagi. Maka apabila Dewan Pemuda Pas meluluskan usul Pas menjadi peneraju PN, ia bermakna lagak Bersatu mahu menentukan segala perjalanan politik PN kini di penghujungnya.

Sememangnya masa sudah tiba untuk Pas menjadi peneraju PN. Selama ini segelintir pemimpin Bersatu lupa bahawa Pas jauh ‘lebih power’ daripada Bersatu dalam segenap segi. Malah nyawa politik PN sebenarnya ada di tangan Pas.

Bagaimanapun Pas tidak mahu menggunakan kekuatan dan kelebihan itu demi menjaga keharmonian serta menjaga hati Bersatu. Pas ‘menelan’ apa sahaja tafsiran dan andaian pihak luar terhadap parti itu termasuklah tidak ada calon PM, bergantung kepada Bersatu supaya tidak dilihat ekstremis dan macam-macam lagi.

 Tetapi pengorbanan dilakukan Pas itu seolah-olah tidak dihargai oleh segelintir pemimpin Bersatu yang impian dan matlamat mereka hanyalah mahu memastikan Muhyiddin menjadi PM sekali lagi. Mereka seolah-olah tidak peduli pun perasaan Pas.

Kini Pas harus mengatur langkah dengan menjadikan muktamar  di Alor Setar sebagai detik bersejarah bagi mengisytiharkan Pas sebagai peneraju Perikatan Nasional. Cukup-cukuplah selama ini sejak 1990 apabila bekerjasama dengan mana-mana parti, Pas sekadar menjadi anggota atau komponen. Ini masa terbaik.

Penulis  percaya rakyat khususnya orang Melayu pasti akan menerima Pas menjadi pembawa panji-panji Perikatan Nasional memasuki gelanggang PRU-16. Membaca reaksi dalam media sosial berkaitan perkara itu ternyata  majoriti memberi reaksi positif untuk Pas menjadi ‘kepala’ PN.

Siapa hendak menjadi PM, ia boleh ditentukan kemudian sebab Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dah kata , ‘’kambing pun kita belum ternak, macam mana nak kira untung’’ – ketika ditanya siapa calon PM daripada Pas.

Untuk bertindak adil kepada Muhyiddin, Pas perlu menyatakan secara terbuka tidak mahu Muhyiddin menjadi calon PM lagi, sebaliknya Muhyiddin boleh menjadi penasihat PN bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang memandangkan pengalaman beliau pernah menjadi Perdana Menteri. Sampaikanlah mesej itu secara jelas di muktamar tersebut tanpa mengaibkan sesiapa.

Pada masa sama Pas ‘perlu membantu’ segelintir pemimpin Bersatu untuk ‘bangun dari tidur’ atau masih lagi dibuai dengan nostalgia ketika Muhyiddin menjadi PM, bagaimana hubungan Bersatu dan Pas terbina serta bagaimana PN menjadi kerajaan dahulu. Semua itu sudah berlalu. PN perlu masuk ke gelanggang dengan semangat baru, wajah baru, penuh integriti dan tidak ada ‘apa-apa penyakit’ yang boleh menjejaskan peluang memenangi PRU-16.

Maka atas matlamat itu, Pas harus mengisytiharkan secara rasmi mereka adalah peneraju PN pada hari terakhir muktamar esok. Penulis yakin jika Pas membuat langkah demikian, imej PN akan berubah dan sokongan kepada gabungan itu juga akan meningkat.

Penulis tahu betapa rimas penyokong dan ahli Pas apabila melihat pemimpin mereka hanya mengikut apa sahaja yang diputuskan oleh Bersatu sedangkan Pas jauh lebih hebat daripada Bersatu.

Kalau ada pemimpin Bersatu termasuk Muhyiddin tidak bersetuju untuk Pas menerajui PN, biarkan sahaja kerana yang akan menentukan hidup mati PN ialah rakyat!

Ingatlah jika Pas tidak berani membuat pengisytiharan menerajui PN dalam muktamar tersebut, percayalah Pas akan diketawakan dan selepas ini apapun Pas cakap orang sudah tidak akan yakin lagi .

Ia kerana mereka akan melihat Pas  bersikap ibarat kereta yang bunyi ekzosnya kuat tetapi bila bergerak, orang kayuh basikal pun boleh memotong. Justeru pastikan jadikan ‘Islam Memimpin’ satu kenyataan bukan sekadar slogan!

SELAMAT BERMUKTAMAR!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img