
SEJAK dulu, saya amat gemar menghadiri apa sahaja platform percambahan fikiran terutama yang melibatkan survival bangsa Melayu.
Secara jujur, paling saya gemari ialah wacana oleh UMNO terutama ketika parti itu memegang tampuk kuasa kerana saya melihat keupayaan mereka merealisasikan dasar yang dibentangkan.
Ketika UMNO menjadi pembangkang pada tahun 2018, saya dijemput memberi pandangan dalam pelbagai forum atau wacana anjuran parti tersebut.
Selain itu, saya turut memberi buah fikiran kepada mana-mana pihak selain UMNO untuk membincangkan soal survival orang Melayu.

Paling istimewa ialah ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah pada tahun berkenaan, saya diberi peluang oleh agensi kerajaan untuk terlibat dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018).
Dulu sebarang resolusi forum, wacana atau kongres berkaitan kepentingan orang Melayu akan dijadikan dasar kerajaan.
Berikutan itu tertubuhlah sekretariat dan pasukan petugas khas di peringkat agensi kerajaan hinggalah sebuah jawatankuasa tertinggi dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Tidak lama selepas berkongres, maka wujud pelan tindakan.
Walaupun sesuatu dasar itu kelihatan bermula dengan desakan politik tetapi tindakannya diterjemahkan ke dalam perkhidmatan awam sebagai hala tuju pentadbiran dan kepimpinan negara.
Hasilnya, sedikit sebanyak orang Melayu merasai kesan dasar Bumiputera tersebut yang turut mengambil kira kepentingan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Berikutan itu sebarang bentuk medan perbincangan orang Melayu dianggap ‘wadah perjuangan ’ yang dianggap lebih ikhlas, berani dan bertanggungjawab.
Namun hari ini, semakin ramai orang Melayu menganggap apa juga forum oleh parti politik Melayu ia bertujuan seolah-olah mahu mencari ‘talian hayat’ sama ada untuk parti itu atau pemimpinnya.
Ada parti politik yang sudah dapat merasakan denyut jantungnya kian tenat ibarat berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital.
Dalam keadaan itu, taringnya sudah tidak bermakna dan suaranya tidak bererti lagi kerana fungsi tubuh badan hampir mati.
Ketika ini, orang Melayu berada dalam situasi semakin parah dalam semua perkara yang memerlukan pembelaan.
Kecelaruan politik dalam negara dan ketegangan geopolitik antarabangsa menjadikan rakyat khususnya Melayu perlu dijaga dan dilonjakkan segera supaya tidak mencetuskan masalah besar.
Berdasarkan pengamatan dan penglibatan saya di lapangan didapati negara sedang berhadapan beberapa masalah utama.
Kemiskinan dijangka meningkat dan semakin memburuk akibat ketegangan Iran-Amerika/Israel serta perang kuasa besar dunia.
Kita sudah melihat golongan petani berhadapan kerugian akibat kenaikan kos, lambakan tidak terkawal serta motivasi rendah.
Peluang pekerjaan dan imbuhan akan menjadi semakin mencabar dan ia sememangnya sudah diramal oleh pakar-pakar ekonomi sebagai isyarat untuk kita bersedia dalam tempoh satu ke dua bulan akan datang apabila banyak industri pembuatan dan pengeluaran menghadapi krisis ketiadaan bekalan.
Tanda-tanda kenaikan harga barang makanan juga sudah dijangka berlaku pada suku ketiga tahun ini yang akan membuktikan sejauh manakah keterjaminan makanan kita benar-benar terjamin serta tidak membebankan?.
Saya yang terlibat dalam pendidikan TVET pertanian dan perladangan merentasi pelbagai agensi dan majikan melihat ada banyak program gagal digerakkan serta tidak mencapai sasaran kerana kelemahan pentadbiran (caca marba).
Itu belum lagi soal kedudukan ekonomi orang Melayu dari segi pendapatan yang masih berada di tangga ketiga selepas kaum Cina dan India serta perkara-perkara lain.
Semua itu melibatkan banyak kepentingan orang Melayu dan boleh diselesaikan jika kita mempunyai dasar yang jelas, berani dan tegas.
Malangnya semakin riuh kedengaran, parti-parti politik yang dulu dianggap Jaguh Melayu kini dilihat bersikap flip-flop.
Suara yang lantang ketika forum-forum Melayu tiba-tiba berubah nada sehingga berlaku u-turn seolah-olah ada tangan memicit sesuatu dari belakang.
Sikap itu menyebabkan orang Melayu kecewa dan marah serta rasa terperdaya.
Melangkah ke hadapan, jika mahu berkuasa dan relevan, penggabungan dan kerjasama semua parti Melayu tidak lagi menjadi pilihan, sebaliknya wajib dilaksanakan.
Jika kerjasama itu tidak terjadi di peringkat kepimpinan parti, maka orang Melayu yang merupakan pengundi perlu mengorak langkah demi survival kaum tersebut.
Selain itu, naratif kebangsaan Melayu juga hendaklah berubah. Kita tidak boleh bermain lagi dengan modal biasa seperti Mara, matrikulasi dan lain-lain.
Sebaliknya kita perlu merangka pelan di luar kotak, bersifat dinamik, berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan. Pendekatan dan model baharu yang bersifat “Kalis Masa Depan”.
Jika kepercayaan orang Melayu terhadap orang politik semakin pudar, sudah tiba masanya kebangkitan kuasa ketiga iaitu golongan profesional untuk membuat perubahan dengan apa cara sekalipun. Asalkan Melayu dapat dilonjakkan sebagai bangsa yang dihormati.
Kadangkala kita tidak sedar bahawa tanpa kuasa politikpun kita mampu memberi sumbangan besar dan menggerakkan sendiri termasuk jentera awam untuk menjayakan gagasan memajukan bangsa Melayu.
Secara peribadi, saya telah melalui proses dan pengalaman itu dan terbukti banyak yang berjaya. Segala-galanya terpulang kepada kita sama ada mahu buat atau tidak?
Sesungguhnya iltizam, istiqomah dan keikhlasan adalah kunci kejayaan.
Mengakhiri kolum minggu ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik. Saya sendiri adalah bekas cikgu yang terlatih secara ikhtisad. Sebab itulah bidang pendidikan menjadi salah satu keresahan saya hari ini.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.


