Iktiraf sijil UEC ke IPTA bukan isu tapi pastikan biaya sendiri

Oleh Dr Anuar Ahmad

KITA dikejutkan dengan berbagai komen berkaitan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan juga sijil tahfiz.

Saya melihat isu ini daripada perspektif pendidikan, bukan daripada segi perspektif politik ataupun perkauman. Ini 100 peratus dari perspektif pendidikan.

Jadi saya harap penjelasan ini sekurang-kurangnya dapat memberikan sudut pandang daripada pendidikan dan memang bidang saya adalah bidang pendidikan vernikular.

PhD saya, kajian PhD saya juga berkaitan dengan pendidikan itu. Oleh itu saya mempunyai keyakinan bahawa pandangan yang saya akan berikan ini adalah pandangan dari sudut  pendidikan dan harus difahami dalam ruang pendidikan.

Tentu saja ada banyak pandangan lain dari perspektif  kaum, politik, dasar undang-undang dan sebagainya. Soal kita bersetuju ataupun tidak bersetuju, ini adalah pandangan dari satu aspek pendidikan.

Yang pertama Kabinet telah bersetuju supaya lepasan UEC dibenarkan untuk memohon ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Jika sebelum ini disebut tidak ada pengiktirafan, sekarang ini diiktiraf.

Istilah paling utama harus kita faham adalah maksud kerajaan mengiktiraf sijil UEC ini untuk digunakan apabila calon mahu memohon ke IPTA kerana IPTS tidak ada masalah, kerana selama ini IPTS menerima UEC.

Pengiktirafan ini tidak bersifat pengiktirafan penuh. Itu kita kena faham, sebab dalam komen media banyak disebut, kerajaan telah mengiktiraf UEC untuk masuk ke IPTA dan apa jadi pada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sebagainya.

Kita kena faham dari segi faktanya pengiktirafan dianggap pengiktirafan. Itu istilah yang kita kena faham, dulu mungkin kerajaan tidak mengiktiraf tetapi sekarang kerajaan mengiktiraf.

Namun pengiktirafan ini tidak bersifat pengiktirafan penuh. Ia bermaksud calon tidak layak untuk memohon ke IPTA sekadar menggunakan sijil UEC.

Walaupun kelulusan UEC seseorang pelajar itu cemerlang dan sebagainya tetapi dia tetap tidak layak. Untuk menggunakan sijil UEC, mereka perlu memastikan memiliki  sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh.

Ini satu perkara yang juga harus difahami.

Sijil SPM penuh bermaksud calon itu telah mengambil sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains dan juga Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral).

Bukan hanya mengambil satu dua mata pelajaran tetapi  sekurang-kurangnya enam mata mata pelajaran yang dinyatakan. Mereka juga mesti lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.

Adakah ini sesuatu yang perkara baharu? Jawapannya tidak! Sebab sebelum ini kita telah pun meluluskan dan mengiktiraf A-Level, sijil tinggi dan sebagainya untuk melayakkan mereka memohon ke IPTA.

Maknanya UEC bukanlah kes pertama. Oleh itu kalau ada komen-komen mengatakan mengapa kerajaan mengiktiraf UEC, ini akan mencabar kedudukan dan sebagainya, kita kena faham bahawa sebelum ini pun memang telah ada pengiktirafan kepada sijil-sijil yang lain.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataannya menegaskan  mereka tidak pernah mengikitiraf UEC sepenuhnya.

Kalau iktiraf UEC sepenuhnya bermaksud hanya menggunakan sijil UEC itu saja mereka boleh memohon ke IPTA tetapi itu tidak pernah diberikan kepada calon-calon UEC.

Selain itu, kita harus harus memahami bahawa sistem pendidikan kebangsaan yang diwajibkan adalah daripada tahun 1 sehingga tingkatan 5. Itu adalah pendidikan kebangsaan yang diwajibkan.

Ia tidak ada pilihan pelajar mesti masuk ke sistem pendidikan kebangsaan dan jika tidak bersedia, mereka boleh berada di luar sistem pendidikan itu.

Mereka menguruskan sendiri urusan kewangan, pembiayaan dan sebagainya. Tidak ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dari  peruntukan tahunan.

Pada saya apabila kerajaan membenarkan calon UEC dan calon A-Level memohon untuk masuk ke universiti, mereka layak berbuat demikian jika mempunyai kelayakan yang ditetapkan oleh pihak universiti masing-masing.

Tetapi pada pandangan saya, pembiayaan mereka di universiti itu tidak sepatutnya ditanggung oleh kerajaan kerana mereka datang dari luar sistem pendidikan kebangsaan.

Contahnya dalam amalan kita hari ini pelajar dari sistem pendidikan kebangsaan, biasanya mereka membayar yuran sekitar 10 peratus manakala 90 peratus lagi itu dibiayai oleh kerajaan melalui subsidi penddikan dan sebagainya.

Maka pelajar-pelajar yang datang dari luar sistem pendidikan  kebangsaan tetapi tidak layak untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Amalan itu samalah kalau pelajar antarabangsa menggunakan sijil pendidikan negara mereka datang belajar ke Malaysia, kita tidak membiayai mereka di universiti. Mereka harus membayar yuran penuh.

Maka peraturan sama perlu ditetapkan kepada mereka yang tidak menggunakan sistem pendidikan kebangsaan untuk masuk IPTA.

Itu pandangan saya kepada penggubal pendidikan negara supaya ia adil kepada pelajar-pelajar  sistem pendidikan kebangsaan.

Saya rasa tidak wajar kalau mereka yang tidak memilih sistem pendidikan kebangsaan apabila belajar di sekolah swasta dan sebagainya dengan dibiayai keluarga, tiba-tiba apabila masuk universiti mereka mahu pembiayaan daripada kerajaan.

Keadaan ini harus kekal supaya dasar kerajaan dilihat konsisten dan seterusnya memastikan sistem pendidikan kebangsaan menjadi pilihan kepada masyarakat kita.

Bagaimanapun kalau ada masyarakat yang tidak mahu berada dalam sistem pendidikan kebangsaan, tidak menjadi isu, tetapi mereka harus membiayai sendiri pendidikan anak-anak mereka.

(Bahagian Akhir Esok: UEC: Tak wajar kaitkan tahfiz)

  • Dr Anuar Ahmad adalah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img