FOKUS AHAD
TINDAK balas berterusan Iran terhadap serangan pencerobohan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ternyata menyebabkan Presiden Donald Trump semakin tidak keruan.
Semalam Trump yang berpakat dengan pengganas antarabangsa Benjamin yang juga Perdana Menteri Israel mengeluarkan kenyataan keras terhadap Iran.
Melalui platform media Truth Social, Trump terus ‘merepek’ apabila mendakwa Iran telah ‘dipukul dengan teruk’ susulan serangan AS-Israel.
Paling melucukan, Trump yang terlibat dalam pendedahan fail Epstein mendakwa Tehran telah memohon maaf kepada negara-negara jiran serta berjanji tidak lagi melancarkan peluru berpandu ke arah negara di Asia Barat.
Dan kata Presiden AS yang mendapat hanya 18 peratus sokongan rakyat AS dalam perang dengan Iran itu, tindakan Iran itu ‘’adalah hasil tekanan dan serangan berterusan AS’’.
Kenyataan Trump yang terkenal dengan sikap angkuh sebenarnya memutar belit kenyataan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Dalam mesej terbarunya, Pezeshkian menegaskan bahawa Iran tidak mempunyai niat untuk menyerang negara jiran dan menyeru kepada kestabilan di rantau tersebut.
“Kami tidak berniat melakukan pencerobohan terhadap negara jiran. Mereka adalah saudara kami, dan di rantau ini kita mesti bekerjasama demi keamanan dan kestabilan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan media Iran.
Beliau turut menjelaskan bahawa Iran, berdasarkan keputusan majlis kepimpinan sementara dan arahan kepada angkatan bersenjata, tidak akan meneruskan serangan peluru berpandu ke arah negara jiran selagi tiada serangan terhadap Iran dilancarkan dari wilayah mereka.
Pendirian itu, menurut beliau, telah dipegang Iran sejak awal konflik dan telah diulang berkali-kali sebelum ini.
Selain memutar belit kenyataan Presiden Iran itu, Trump juga bagaikan ‘panas satu badan’ apabila kecekalan dan ketabahan serta kekuatan Iran yang tidak tergugat walaupun peperangan sudah memasuki hari ke-9.
Justeru Trump cuba memperlekehkan Iran dengan mendakwa negara itu bukan lagi kuasa dominan di Timur Tengah, malah menyifatkan Iran sebagai pihak yang kalah dan mungkin kekal dalam keadaan tersebut selama beberapa dekad.
Berikutan keadaan itulah Trump memberi amaran bahawa sasaran serangan boleh diperluaskan.
“Hari ini Iran akan dipukul dengan sangat keras,” tulisnya sambil menambah bahawa kawasan dan kumpulan yang sebelum ini tidak termasuk dalam sasaran ketenteraan kini sedang dipertimbangkan untuk “dimusnahkan sepenuhnya”.
Kenyataan itu dianggap oleh media Iran sebagai ancaman untuk menyerang kawasan awam. Bagaimanapun kalau itu berlaku ia bukanlah kejutan kerana AS-Israel sudahpun melaksanakan serangan tersebut.

Tragedi pembunuhan ke atas 165 murid perempuan sekolah rendah dan guru di Minab, Tehran pada 1 Mac lalu.
Sehingga semalam AS-Israel menggunakan strategi yang sama seperti di Gaza dengan menyerang kawasan awam dan akan memberi alasan bodoh, kawasan itu terdapat aktiviti ketenteraan.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran mengesahkan sebanyak 6,668 lokasi awam menjadi sasaran dalam serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel, termasuk ribuan rumah dan puluhan kemudahan perkhidmatan awam, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, organisasi bantuan Iran itu memaklumkan yang serangan oleh AS dan Israel membedil pelbagai infrastruktur awam di seluruh negara itu.
Menurut kenyataan itu, antara lokasi yang terjejas termasuk 5,535 bangunan kediaman, 1,041 unit komersial, 14 pusat kesihatan, 65 sekolah dan 13 kemudahan yang bergabung dengan Bulan Sabit Merah.
Walaupun ancaman dan serangan seumpama itu melanggar undang-undang antarabangsa tetapi Trump dan ‘tuannya’ Netanyahu peduli apa?


