Gaduh ketika perlawanan akhir, 23 pemain dilayang kad merah

SERAMAI 23 pemain dilayangkan kad merah selepas perlawanan berakhir susulan pergaduhan besar ketika kemenangan 1-0 Cruzeiro EC ke atas seteru mereka Atletico Mineiro dalam final Campeonato Mineiro semalam.

Menurut laporan akhbar Brazil, O Globo, ia adalah bilangan kad merah tertinggi pernah dikeluarkan dalam satu perlawanan bola sepak di Brazil, memecahkan rekod lama yang berlaku pada tahun 1954 antara Portuguesa dan Botafogo apabila 22 pemain diarah keluar padang.

Insiden tercetus pada minit akhir permainan apabila penjaga gol Atletico Mineiro, Everson, menolak pemain tengah Cruzeiro, Christian, selepas kedua-duanya bertembung ketika mengejar bola longgar.

Rakan sepasukan Christian segera menghampiri Everson sebelum situasi bertukar menjadi pergaduhan besar yang membabitkan pemain daripada kedua-dua pasukan.

Beberapa pegawai keselamatan cuba meleraikan keadaan ketika pemain saling menolak, menumbuk dan menendang antara satu sama lain.

Selepas perlawanan tamat, pengadil Matheus Delgado Candancan mengambil tindakan tegas dengan melayangkan 23 kad merah, membabitkan 12 pemain Cruzeiro dan 11 pemain Atletico Mineiro.

Dalam laporan rasmi pengadil, Everson dan Christian menerima kad merah terus kerana mencetuskan pergaduhan, manakala pemain lain dibuang padang kerana menumbuk dan menendang ketika kekecohan itu.

Penyerang Atletico Mineiro, Hulk, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang memalukan.

“Ini sangat dikesali. Saya tidak pernah melihat keganasan seperti itu dalam mana-mana perlawanan bola sepak.

“Kita tidak boleh menunjukkan contoh seperti itu kerana ia memberi kesan di seluruh dunia. Kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga imej sendiri dan imej kelab,” kata Hulk kepada media tempatan.

Sementara itu, pengendali Cruzeiro, Tite, mengucapkan terima kasih kepada penyokong selepas kemenangan berkenaan.

“Saya ingin menyampaikan kasih sayang dan rasa hormat saya kepada penyokong Cruzeiro.

“Saya mungkin ada kekurangan dari segi keupayaan pada masa tertentu, tetapi rasa hormat kepada penyokong, kerja keras, maruah dan kejujuran itulah yang paling penting,” kata Tite.

Cruzeiro yang kini berada di tangga ke-19 Campeonato Brasileiro Serie A dijadualkan menentang CR Flamengo pada Rabu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img