SEORANG lelaki dipercayai dalam keadaan halusinasi bertindak menikam leher anak lelaki dan adik kandungnya sehingga mengakibatkan kedua-dua mangsa kritikal di sebuah rumah di Jalan Taman Intan 2, Taman Bandar Baru, di Kampar malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.35 malam itu, anak suspek berusia 22 tahun serta adiknya yang berusia 56 tahun dilaporkan parah akibat terkena tikaman di leher menggunakan pisau.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian berlaku di ruang tamu rumah jenis dua tingkat dihuni suspek bersama mangsa.
“Suspek dipercayai mengalami halusinasi. Dia ada menjalani rawatan psikiatri di Hospital Fatimah di Ipoh.
“Suspek kini dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) Tanjung Rambutan. Suspek turut mengalami kecederaan iaitu luka di tapak tangan kiri,” katanya kepada media malam tadi, lapor Harian Metro.
Menurut Mohamad Nazri, suspek yang berusia 58 tahun menikam leher anak lelakinya pada bahagian kiri, manakala adik kandungnya turut ditikam di bahagian yang sama.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa kini dalam keadaan kritikal di wad kecemasan Hospital Kampar sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan susulan.
Katanya, polis turut merampas pisau dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


