KOR Revolusi Islam Iran (IRGC) mendedahkan telah melancarkan serangan selama tiga jam terhadap pangkalan Amerika Syarikat (AS) dan sasaran Israel melalui ‘Operation True Promise 4’ awal hari ini.
Tasnim News Agency, dalam kenyataan rasmi ke-30 yang dikeluarkan oleh IRGC, pasukan itu mendedahkan perincian gelombang ke-37 Operasi Janji Setia 4.
Dalam kenyataan tersebut dinyatakan bahawa operasi dilancarkan dengan slogan “Ya Ali bin Abi Talib” pada malam-malam lailatul qadar.
Serangan lebih tiga jam itu dengan pelancaran pelbagai jenis peluru berpandu super berat, termasuk peluru berpandu jenis Khorramshahr, yang dilancarkan secara berlapis dan berterusan terhadap pangkalan AS dan sasaran Israel.
Dalam serangan tersebut, pusat komunikasi satelit Haela di selatan Tel Aviv dilaporkan menjadi sasaran buat kali kedua. Selain itu, beberapa kemudahan ketenteraan di Be’er Yaakov, Jerusalem Barat dan Haifa turut disasarkan.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa sasaran AS di Erbil serta Pangkalan Armada Kelima Amerika di rantau tersebut turut berada di bawah serangan hebat pasukan bersenjata Iran.
IRGC turut menegaskan bahawa mereka akan terus melancarkan serangan secara berterusan dan terancang, sambil menyatakan bahawa perang hanya akan dihentikan apabila musuh menyerah sepenuhnya dan ancaman perang terhadap Iran dihapuskan sepenuhnya.
Sementara itu, Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi berkata bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu cuba menyembunyikan kesan sebenar serangan balas Iran terhadap Israel.
Dalam satu hantaran di platform X (Twitter), Araghchi menulis bahawa Netanyahu tidak mahu masyarakat dunia melihat bagaimana angkatan bersenjata Iran sedang “menghukum Israel” atas apa yang disifatkannya sebagai tindakan pencerobohan.
Beliau berkata laporan dari pasukan Iran di lapangan menunjukkan kesan besar serangan tersebut.
“Ini yang dilaporkan oleh pasukan kami di medan: kemusnahan meluas yang ditinggalkan oleh peluru berpandu kami, para pemimpin yang ketakutan dan cemas, serta sistem pertahanan udara yang mengalami gangguan,” katanya.
Araghchi turut menegaskan bahawa operasi Iran masih di peringkat awal.
“Dan kami baru sahaja bermula,” kata beliau.


