Lulus usul kutuk serangan Iran: PBB ‘terus buta’ , negara teluk ‘buat-buat buta’

KEJAHILAN anggota-anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terserlah awal pagi ini apabila secara rasmi meluluskan resolusi yang dikemukakan oleh Bahrain bersama negara-negara Teluk mengutuk serangan Iran terhadap negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Jordan.

Resolusi tersebut diluluskan dengan 13 undi menyokong, manakala Russia dan China memilih untuk berkecuali.

Resolusi yang diajukan oleh Bahrain itu mewakili negara anggota GCC—Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Saudi Arabia dan United Arab Emirates—serta Jordan. Dokumen tersebut turut disokong bersama oleh 135 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Resolusi itu menegaskan sokongan kuat terhadap integriti wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan politik negara-negara GCC serta Jordan, selain mengutuk keras apa yang disebut sebagai “serangan mengerikan oleh Republik Islam Iran” terhadap negara-negara tersebut.

Majlis Keselamatan juga menyatakan bahawa serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan merupakan ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, serta mengecam penyasaran infrastruktur awam yang mengakibatkan korban orang awam dan kerosakan bangunan awam.

Persoalannya siapakah dahulu ‘yang melanggar undang-undang antarabangsa? Iran atau Amerika Syarikat yang menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada Israel? Bukankah kedua-dua negara itu yang sebelum ini telah menghancurkan Gaza menyerang Iran terlebih dahulu?

Bukankah Iran hanya menyerang kepentingan Amerika Syarikat (AS) khususnya pangkalan tentera kuasa besar itu yang terdapat di negara-negara berkenaan? Infrastruktur awam mana yang diserang Iran? Negara itu tidak menyerang kawasan kediaman atau sekolah seperti mana dilakukan oleh AS-Israel di Mihab, Iran sehingga menyebabkan 165 murid perempuan sekolah.

Selain itu dua negara ‘berjiwa pengganas’  itu menyerang kawasan kediaman di Iran. Adakah itu tidak melanggar undang-undang antarabangsa? Apakah hanya negara-negara anggota GCC sahaja ada integriti wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan?

Paling memalukan Duta Bahrain ke PBB, Jamal Fares Alrowaiei, menyambut baik kelulusan resolusi itu dan menyatakan ia membuktikan komitmen Majlis Keselamatan untuk mengekalkan keamanan dunia. Keamanan apa? Adakah Bahrain dan negara Teluk ‘buat-buat buta’ untuk melihat apa yang dilakukan oleh AS dan Israel  di Gaza?

Faktanya bukan Iran yang sewenang-wenangnya menyerang negara berkenaan. Iran hanya menyerang pangkalan tentera AS dan pangkalan itu diakui  United States Central Command (CENTCOM) digunakan untuk menempatkan sistem serangan jarak jauh terhadap Iran.

Imej yang dikongsi oleh CENTCOM menunjukkan penggunaan sistem roket M142 HIMARS (High Mobility Artillery Rocket System) dan Precision Strike Missile dalam operasi serangan ke wilayah Iran.

Penganalisis tentera menyatakan bahawa sistem HIMARS mampu menyerang sasaran pada jarak 300 hingga 500 kilometer, bermakna pelancar yang ditempatkan di kawasan Teluk boleh mengenai sasaran strategik di Iran.

Oleh itu apabila negara-negara Teluk sendiri bersedia diperalatkan atau menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada AS dengan membenarkan negara tersebut (AS) membina pangkalan tentera bagi menyerang negara Islam lain, maka mereka juga perlu bersedia menanggung akibatnya.

Apabila Iran menyerang pangkalan tentera tersebut barulah negara-negara teluk mahu ‘rengek’ dan mengadukan kepada PBB.

Sudah terbukti melalui  pangkalan tentera itu, AS -Israel telah melancarkan serangan mengakibatkan lebih 1,348 orang awam terbunuh dan lebih 17,000 cedera di Iran sejak  28 Februari, dengan lebih 19,000 lokasi awam termasuk rumah dan hospital dilaporkan rosak.

Keputusan Majlis Keselamatan itu membuktikan badan dunia tersebut  langsung tidak boleh diharapkan untuk membela negara-negara terutamanya negara Islam yang ditindas AS-Israel.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img