Kes tembak komander AKPS : Anggota PGA disyaki ada hubungan rapat dengan ahli sindiket

POLIS menahan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, anggota berusia lingkungan 30-an bertugas di bahagian perisikan sempadan itu ditahan pada 5 Mac lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Anggota ini sudah dua tahun bertugas di sempadan, dia adalah perisik dan kita tahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander AKPS.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis ketamin, namun kita tidak tahan dia kerana ambil dadah sebaliknya untuk membantu siasatan kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani hari ini, lapor Berita Harian.

Adzli berkata, hasil siasatan awal mendapati anggota itu mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, siasatan juga mendapati anggota itu berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku.

“Maklumat diperoleh menunjukkan dia berkawan rapat dengan ahli sindiket dan dipercayai pernah bersama menghisap dadah.

“Jadi apabila ada maklumat sedemikian, kita tidak akan berkompromi dan perlu menahannya untuk siasatan. Bagaimanapun, anggota terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas tempoh reman tamat.

“Polis akan mendapatkan perintah bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan suspek memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan insiden tersebut menyaksikan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dipandu Nasaruddin ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin Bukit Kayu Hitam kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Mangsa bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Suspek yang menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img