JEMAAH Menteri hari ini mengecam keras kenyataan didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang tular di media sosial dan menegaskan ia tidak boleh diterima sama sekali.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet susulan reaksi hangat orang ramai terhadap isu berkenaan.
“Kenyataan yang menghina sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW itu dikecam keras oleh seluruh Jemaah Menteri dan tidak boleh diterima,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurutnya, Jemaah Menteri turut dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis sudah dibuat berhubung isu terbabit.
“Maka kita serah kepada pihak berkuasa terutama majlis ataupun jabatan agama yang berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Fahmi berkata, kerajaan memahami kemarahan dan reaksi masyarakat di media sosial terhadap kenyataan berkenaan yang ketika ini masih hangat diperkatakan.
Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah yang menghina dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.


