POLIS membuka siasatan berhubung satu kejadian melibatkan sebuah bas yang didakwa menghalang laluan ambulans ketika kenderaan kecemasan itu sedang menjalankan tugas di Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas satu video dimuat naik di media sosial kira-kira jam 12.30 pagi tadi.
Menurutnya, rakaman berkenaan menunjukkan sebuah bas dipercayai menghalang laluan ambulans di laluan utama dari Kota Tinggi menuju ke bandar berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Johor Bahru–Mersing dari arah Kota Tinggi menghala ke bandar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 9(2) LN 166/59 kerana tidak memberi laluan kepada kenderaan kecemasan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penguatkuasa trafik, Inspektor Amirul Mustakim Mustaza di talian 017-4793329 bagi mengesan pemandu yang terlibat,” katanya.
Tambah beliau, kegagalan memberi laluan kepada ambulans, bomba atau kenderaan kecemasan lain merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika disabitkan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa peka serta mematuhi undang-undang bagi memastikan keselamatan semua pihak ketika berada di jalan raya.


