Wanita warga emas rentung dalam kebakaran rumah

SEORANG wanita warga emas ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah berhampiran kedai nasi ayam berempah di Kampung Guar Kepayang di Kepala Batas petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang identitinya belum dikenal pasti ditemukan pasukan bomba dan penyelamat dalam sebuah bilik rumah berkenaan pada jam 5.55 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.59 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.15 petang kira-kira tujuh kilometer dari balai sebelum operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 5.40 petang.

“Operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Tasek Gelugor dan Butterworth,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Choki, kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas C berkeluasan kira-kira 297.3 meter persegi (40 x 80 kaki persegi) dengan anggaran kemusnahan sekitar 70 peratus.

“Pasukan bomba melaksanakan konsep Rescue, Exposure, Confinement, Extinguishment dan Overhaul (RECEO) bagi operasi menyelamat dan pemadaman.

“Maklumat awal mendapati ada seorang mangsa terperangkap di dalam rumah tersebut sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di salah sebuah bilik,” katanya.

Tambah beliau, operasi pemadaman melibatkan seramai 21 anggota bomba bersama empat jentera iaitu sebuah LFRT dari Kepala Batas, sebuah FRT dan sebuah EMRS dari Tasek Gelugor serta sebuah LFRT dari Butterworth.

“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pasukan Bomba Sukarela Kepala Batas.

“Setakat ini operasi masih dijalankan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img