EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang warga emas dalam kejadian samun bersenjatakan parang di Lorong Emas, Pelan Baru bulan lalu.
Tertuduh, S R C Parkash Rao, M V Aligeswaran, T Tiagesan dan K Shanker yang masing-masing berusia 25 tahun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa secara bersama-sama membunuh N Jeyagoby di sebuah rumah di Lorong Emas L2/1, Pelan Baru, dalam daerah Hilir Perak antara jam 6 pagi hingga 6.30 pagi pada 17 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan empat lelaki terbabit ditahan antara 23 hingga 26 April lalu di sekitar Teluk Intan dan Bentong, Pahang susulan kejadian samun bersenjata yang mengorbankan mangsa.
Polis turut berjaya menemui semula barang kemas bernilai kira-kira RM8,000 yang dipercayai disamun dari rumah mangsa.
Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas diserang menggunakan senjata tajam dipercayai parang ketika isterinya sedang membuat persiapan untuk menunaikan sembahyang pagi.


