SEORANG lelaki warga emas maut, manakala isterinya cedera parah selepas diserang penyamun yang menceroboh masuk ke rumah mereka di Jalan Melayu, Ayer Tawar, Manjung, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, pasangan warga emas terbabit dipercayai dipukul menggunakan objek keras oleh suspek sebelum lelaki berkenaan melarikan diri bersama dua telefon bimbit dan beg duit milik mangsa.
“Siasatan awal mendapati pasangan warga emas itu diserang seorang lelaki yang menceroboh masuk ke dalam rumah mereka sebelum memukul mangsa menggunakan objek keras.
“Suspek kemudian melarikan diri bersama dua telefon bimbit serta beg duit milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, jiran yang terdengar kekecohan segera membantu pasangan terbabit sebelum membawa mereka ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa lelaki berusia 84 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala isterinya mengalami kecederaan parah.
“Bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.
Hasbullah berkata, susulan risikan dan siasatan lanjut, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun pada jam 7.45 malam hari sama.
“Kami turut menemui semula beberapa barangan yang dipercayai milik mangsa,” katanya.
Beliau berkata, suspek kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan ketika melakukan samun,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan.


