Kes Mafia Korporat : Polis sita kereta, jam mewah, wang tunai

POLIS menyita dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas serta wang tunai termasuk mata wang asing dalam serbuan ke atas beberapa premis milik seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’.

Serbuan itu dijalankan Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang haram.

Ketua Pasukan AMLA PDRM, Datuk Fazlisyam Abdul Majid berkata, selain barangan mewah dan wang tunai, pihaknya turut menyita beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, nilai keseluruhan sitaan masih dalam proses penilaian oleh pihak berkuasa.

“Antara yang disita ialah dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas serta wang tunai termasuk mata wang asing selain beberapa dokumen berkaitan.

“Serbuan dilakukan di beberapa premis pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti kaitan barangan yang disita dengan dakwaan aktiviti pengubahan wang haram.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah melakukan pemeriksaan ke atas beberapa premis yang mempunyai kaitan dengan seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Victor Chin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img