DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup sebuah premis kecantikan serta menyita pelbagai peralatan dalam operasi khas ke atas premis berisiko di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, kelmarin.
DBKL dalam kenyataan berkata, pemeriksaan terhadap empat premis mendapati mereka beroperasi tanpa lesen selain melanggar syarat lesen serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Hasil operasi, sebuah premis kecantikan diarahkan tutup serta-merta, manakala dua premis snuker dikenakan tindakan sitaan melibatkan pelbagai peralatan hiburan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, tujuh notis kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen hiburan, menggaji pembantu warga asing serta pengendali yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan.
Menurut DBKL, semua barangan yang disita telah dipindahkan ke stor sitaan bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.
“Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, Kaedah-Kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1993 serta Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992,” katanya.
DBKL menegaskan pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran peraturan oleh pengusaha premis dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.


