LIMA sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam longkang sedalam dua meter di Batu 3, Jalan Mawai, Kota Tinggi petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.07 petang.
Menurutnya, operasi diketuai Azmi Sulaiman bersama enam anggota mendapati kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Persona yang terbabas ke dalam longkang.
“Kemalangan itu membabitkan lima mangsa dengan dua daripadanya tersepit dalam kenderaan, manakala tiga lagi berjaya dikeluarkan lebih awal dengan bantuan orang awam,” katanya.
Jurucakap itu menambah, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dengan mengeluarkan mangsa tersepit dan semua mereka terbabit iaitu dua lelaki dan tiga perempuan dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berkata, kejadian berlaku di laluan berselekoh ketika mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Mersing ke Kota Tinggi dan punca kejadian itu masih dalam siasatan.


